
JOHOR BAHRU – Seramai 22 orang murid berdepan detik cemas selepas van sekolah dinaiki mereka terlibat kemalangan dengan sebuah treler membawa muatan simen, tengah hari tadi.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Muhamad Azizi Zakaria berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 1 tengah hari itu, tiga murid dan pemandu van dilaporkan mengalami kecederaan.
“Kejadian berlaku di susur keluar Bandar Dato Onn, Lebuhraya Utara–Selatan (PLUS) arah selatan di sini. Kemalangan mengakibatkan pemandu van tersepit di tempat duduk manakala tiga murid pula mengalami kecederaan.
“Mangsa tersepit berjaya dikeluarkan menggunakan peralatan khas sebelum diserahkan bersama seorang kanak-kanak lelaki yang cedera kepada ambulans.
“Sementara dua kanak-kanak perempuan yang turut cedera dihantar menggunakan Perkhidmatan Penyelamat Perubatan Kecemasan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, kesemua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Sultan Ismail untuk mendapatkan rawatan.
Sementara itu, seramai 10 anggota termasuk dari BBP Kempas dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan.


