
RIZAB antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) meningkat kepada AS$120.6 bilion setakat 30 Jun 2025, berbanding AS$119.9 bilion yang dicatatkan pada 13 Jun lalu.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, BNM memaklumkan bahawa paras rizab tersebut adalah mencukupi untuk membiayai 4.8 bulan import barangan dan perkhidmatan serta 0.9 kali jumlah hutang luar negeri jangka pendek negara.
Komponen utama rizab antarabangsa tersebut merangkumi rizab pertukaran asing berjumlah USD107.0 bilion, kedudukan rizab dalam Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) sebanyak USD1.3 bilion, hak pengeluaran khas atau SDR berjumlah USD5.9 bilion, rizab emas sebanyak USD4.1 bilion dan aset rizab lain berjumlah USD2.3 bilion.
Dalam perkembangan berkaitan, jumlah keseluruhan aset BNM setakat tarikh yang sama adalah sebanyak RM607.31 bilion.
Jumlah ini merangkumi pelbagai komponen termasuk emas, pertukaran asing dan rizab lain yang turut meliputi SDR, dengan nilai keseluruhan sebanyak RM510.06 bilion.
Selain itu, aset turut melibatkan pegangan kertas Kerajaan Malaysia sebanyak RM13.27 bilion, deposit oleh institusi kewangan berjumlah RM6.83 juta, pinjaman dan pendahuluan sebanyak RM27.26 bilion, serta aset tetap seperti tanah dan bangunan berjumlah RM4.58 bilion.
Aset lain yang disenaraikan pula berjumlah RM45.31 bilion.
Dalam kenyataan tersebut, BNM turut menjelaskan bahawa jumlah modal dan liabiliti juga mencatat nilai yang sama, iaitu RM607.31 bilion. Daripada jumlah tersebut, RM100 juta merupakan modal berbayar, manakala rizab mencatatkan nilai RM189.55 bilion.
Mata wang dalam edaran sebanyak RM171.82 bilion, diikuti deposit oleh institusi kewangan berjumlah RM122.23 bilion, dan deposit oleh kerajaan persekutuan sebanyak RM7.07 bilion.
Selain itu, deposit lain mencatatkan nilai sebanyak RM75.78 bilion, manakala kertas Bank Negara berjumlah RM10.06 bilion, peruntukan SDR sebanyak RM27.78 bilion dan liabiliti lain berjumlah RM2.92 bilion.
Peningkatan rizab antarabangsa ini mencerminkan kedudukan kewangan luar negara yang kukuh serta tahap kecairan yang mencukupi bagi menyokong kestabilan kewangan dan nilai ringgit.
Ia juga memperlihatkan keupayaan negara untuk terus memenuhi komitmen kewangan antarabangsa serta mengekalkan keyakinan pelabur terhadap prospek ekonomi negara.


