
PUTRAJAYA – Jemaah Menteri mengarahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) agar sentiasa peka terhadap keadaan cuaca panas yang sedang melanda negara susulan peralihan Monsun Barat Daya yang bermula pada 10 Mei lalu dan dijangka berterusan sehingga September ini.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, KKM turut diminta untuk mengeluarkan nasihat kesihatan yang bersesuaian, termasuk garis panduan berkaitan aktiviti luar, bagi melindungi kesihatan awam dalam keadaan cuaca semasa.
“Jemaah Menteri mengambil maklum beberapa amaran cuaca panas yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia).
“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mengambil maklum dan mematuhi sebarang notis atau pengumuman rasmi daripada METMalaysia,” katanya dalam sidang media mingguan, di Putrajaya hari ini.
Sementara itu, Fahmi turut memaklumkan bahawa Jemaah Menteri telah diberi taklimat berkenaan pelaksanaan Op Kesan 4.0 yang bermula semalam, susulan peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
Menurut beliau, operasi yang dilaksanakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) itu bertujuan memastikan tiada sebarang aktiviti pencatutan atau kenaikan harga yang tidak munasabah berlaku akibat peluasan skop SST.
“Ia usaha pihak KPDN untuk memastikan tidak berlaku aktiviti pencatutan akibat daripada peluasan skop SST dan orang ramai diingatkan untuk membuat aduan jika ada mana-mana premis perniagaan menaikkan harga pada kadar yang tidak berpatutan,” katanya.







