
SANDAKAN – Pasukan Polis Marin (PPM) Sandakan, Wilayah 4 Sabah berjaya mematahkan cubaan menyeludup produk kosmetik tidak berdaftar dianggarkan bernilai RM65,484 dalam satu operasi khas yang dijalankan di kawasan Tanah Merah, di sini awal pagi Selasa.
Menurut kenyataan PPM Sandakan, operasi yang dilancarkan sekitar pukul 1.45 pagi itu membawa kepada rampasan sebanyak 3,466 botol produk kosmetik pelbagai jenis yang dipercayai cuba diseludup masuk dari negara jiran untuk pasaran tempatan.
“Turut dirampas ialah sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dipercayai digunakan suspek untuk tujuan penyeludupan,” menurut kenyataan itu.
Namun begitu, suspek berjaya meloloskan diri selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa.
“Kesemua barangan rampasan termasuk kenderaan dibawa ke Markas Operasi PPM Sandakan untuk tindakan lanjut.
“Kes kini disiasat di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984,” tambah kenyataan tersebut.
Sehubungan itu, PPM Wilayah 4 Sabah akan terus mempergiatkan usaha bagi mengekang kegiatan penyeludupan demi keselamatan dan kesejahteraan negara.







