
PAPAR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) terus memperkasa dan memperluaskan ekosistem masyarakat tanpa tunai di kawasan luar bandar melalui Kembara ReDI Borneo 2025 iaitu sebahagian daripada Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan atau Retail Digitalisation Initiative (ReDI).
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, inisiatif ini bukan sahaja menyasarkan pendedahan kepada penggunaan e-dompet dalam kalangan peniaga luar bandar, malah turut memberi fokus kepada pengurusan kewangan yang efisien.
Jelasnya, penganjuran program ini merupakan satu langkah proaktif KPDN dalam usaha memberi pendedahan kepada peniaga luar bandar berhubung pengoperasian perniagaan berkonsepkan digital.
“Fokus utama adalah penggunaan kemudahan e-dompet dalam urusan transaksi pembelian dan mewujudkan ekosistem masyarakat tanpa tunai (cashless society) di seluruh negara khususnya kawasan luar bandar.
“Inisiatif ReDI ini menawarkan pengurusan kewangan yang efisien, peluang perkembangan perniagaan, kepelbagaian pilihan pembayaran dan juga pengurusan inventori yang lebih berkesan yang boleh dimanfaatkan oleh para peniaga,” katanya sempena Majlis Flag Off Program Kembara ReDI Peringkat Zon Sabah dan Pelancaran Mural ReDI Pertama di Borneo, di sini pada Selasa.

Dalam pada itu, Armizan berkata usaha ini dilaksanakan melalui sokongan dan kerjasama rakan strategik seperti Bank Negara Malaysia, PayNet dan syarikat penyedia e-dompet yang berdaftar seperti Touch&Go e-wallet, GrabPay, ShopeePay, MAE Maybank, Boost dan SPay Global.
Tambahnya, sejak dilancarkan pada 27 Ogos 2022 sehingga 31 Mei 2025, KPDN telah membantu 22,368 peniaga untuk mendaftar dengan e-dompet di seluruh negara.
“Jumlah ini adalah melebihi sasaran 100 peratus iaitu 15,000 peniaga berdaftar menjelang tahun 2025 seperti yang ditetapkan di bawah RMK12.
“Bermula 1 Januari sehingga 31 Mei 2025, jumlah peniaga berdaftar ReDI merekodkan jumlah keseluruhan seramai 3,229 peniaga di seluruh negara.
“Daripada jumlah ini, jumlah peniaga berdaftar bagi negeri Sabah adalah 1,120 dan 1,799 bagi negeri Sarawak.
“Setakat lima hari Kembara ReDI Borneo 2025 ini dilaksanakan, jumlah peniaga berdaftar bagi negeri Sabah dan Sarawak adalah seramai 3,708 orang,” katanya.
Sebagai rekod, kembara ini berlangsung selama 10 hari yang bermula pada 26 Jun lepas dengan lokasi pertama di Sematan, Sarawak dan dijadualkan Tawau, Sabah sebagai lokasi terakhir kembara tersebut iaitu pada 5 Julai 2025.







