
ARAU – Enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas menuntut penjelasan daripada Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah berhubung penangguhan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis yang dijadualkan berlangsung pada 21 hingga 23 April ini.
Enam wakil rakyat tersebut ialah Mohd. Shukri Ramli (Sanglang), Muhammad Azmir Azizan (Santan), Asrul Aimran Abd Jalil (Kayang), Razali Saad (Simpang Empat), Wan Badariah Wan Saad (Mata Ayer) dan Haziq Asyraf Dun (Beseri).
Mereka turut mengingatkan Abu Bakar yang juga ADUN Kuala Perlis supaya tidak gentar dengan dakwaan kemungkinan berlaku undi tidak percaya terhadap beliau dalam sidang DUN berkenaan.
Mohd. Shukri yang juga bekas Menteri Besar berkata, penangguhan itu dilihat luar biasa berikutan tiada pemakluman rasmi serta alasan munasabah diberikan kepada umum.
“Oleh itu, kita berharap mendapat penjelasan yang tuntas daripada Menteri Besar berhubung penangguhan tersebut.
“Ini kerana perkara seperti ini tidak pernah berlaku sebelum ini kecuali dalam keadaan tertentu seperti bencana alam, kematian tokoh penting negeri atau negara serta wabak seperti COVID-19,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar bersama lima wakil rakyat Pas di Pusat Khidmat Wakil Rakyat DUN Mata Ayer di sini hari ini.
Semalam, media melaporkan sidang DUN Perlis yang dijadual berlangsung pada 21 hingga 23 April ditangguhkan ke satu tarikh baharu yang akan dimaklumkan kemudian.





