
KOTA KINABALU – Program Jom Masuk Universiti peringkat Zon Pantai Barat Sabah menjadi platform penting kepada pelajar, khususnya lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), mendapatkan maklumat terkini mengenai peluang melanjutkan pengajian ke institusi pendidikan tinggi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Ts. Mustapha Sakmud berkata, program berkenaan merupakan antara inisiatif utama kerajaan bagi memberi pendedahan kepada pelajar mengenai kursus yang ditawarkan di universiti awam, politeknik dan kolej komuniti di seluruh negara.
“Program ini sebenarnya adalah memberi ruang peluang kepada pelajar-pelajar kita terutama lepasan SPM untuk mendapatkan maklumat terkini tentang bidang-bidang kursus yang ditawarkan di Universiti, Politeknik dan juga kolej komuniti.
“Dalam karnival ini kita pamerkan semua universiti awma yang ada di negara dan mereka memberi penerangan kepada pelajar-pelajar kita tentang kursus-kursus yang ditawarkan,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Perasmian Karnival Jom Masuk Universiti 2026 Zon Sabah II (Kota Kinabalu) di Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini pada Sabtu.
Dalam pada itu, Mustapha turut menggalakkan pelajar memilih kursus yang mempunyai kebolehpasaran tinggi selaras dengan perubahan global semasa, termasuk bidang berkaitan peralihan tenaga dan keterjaminan makanan.

“Negara kini perlu beralih daripada kebergantungan kepada sumber tenaga sedia ada seperti minyak dan gas kepada sumber tenaga baharu melalui Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
“Jadi, kita harap supaya pelajar-pelajar ini pilihlah khusus yang kebolehpasaranya tinggi dan dengan perubahan global yang sekarang ini, inipun kita boleh dapat lihat bahawa akan juga berlaku peralihan fokus.
“Jadi maknanya, tumpuan sekarang ini kita tidak mahu bergantung dengan bahan api sedia ada, terutama minyak dan gas. So, kita perlu buat transisi ke tenaga-tenaga lain.
“Itu yang kita ada NETR, ini sebenarnya untuk memberi gambaran bahawa kita perlu beralih kepada bahan tenaga yang lain, di mananya dari sudut bidang yang ditawarkan juga mesti mengambil kira faktor-faktor.
“Jadi kita harap pelajar-pelajar pun akan menumpukan bidang-bidang utama,” katanya.
Tambah Mustapha, pelajar juga tidak seharusnya memandang rendah terhadap bidang pertanian dan penternakan kerana sektor berkenaan mempunyai prospek besar terutama dalam memastikan keterjaminan makanan negara.
“Krisis global yang berlaku ketika ini menunjukkan betapa pentingnya negara meningkatkan pengeluaran makanan sendiri termasuk beras, ternakan serta input pertanian bagi mengurangkan kebergantungan kepada import.
“Ini adalah ruang yang cukup besar kepada Sabah dan Sarawak sebab kita ada tanah yang luas untuk kita meneroka bidang-bidang pertanian dan pertenakan. Kita juga ada sumber laut, UMS, UNIMAS.
“Peranan yang penting dalam kita mengangkat industri-industri pertanian dan keterjaminan makanan.
“Cuma kita mahu supaya anak-anak muda kita dapat melihat ini sebagai fokus potensi untuk kita mengangkat Sabah dan Sarawak ini sebagai peneraju kepada keterjaminan makanan negara,”ujarnya.

Karnival Jom Masuk Universiti (JMU) 2026 Zon Sabah II Universiti Malaysia Sabah (UMS), menawarkan peluang kepada pelajar mendapatkan maklumat lengkap mengenai kemasukan ke institusi pengajian tinggi.
Program yang berlangsung selama dua hari sehingga esok dari 9.00 pagi hingga 4.30 petang di Kompleks Dewan Kuliah Pusat Ke-2. Karnival berkenaan menghimpunkan pelbagai institusi termasuk universiti awam, kolej komuniti, politeknik, MARA serta institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).
Orang ramai khususnya lepasan sekolah dijemput hadir bagi mendapatkan konsultasi secara terus berkaitan permohonan kemasukan melalui UPUOnline®️, selain khidmat nasihat mengenai tajaan, biasiswa, pinjaman dan bantuan kewangan.
Selain sesi konsultasi, karnival ini turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik seperti pameran penyelidikan, sesi podcast secara langsung, permainan interaktif anjuran UMS serta lawatan kampus bagi memberi pendedahan awal suasana pembelajaran di universiti.


