PUTRAJAYA – Kerajaan Negeri Kelantan merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana meluluskan lebih RM6 juta bagi kerja baik pulih cerun runtuh di Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Remah, dekat Tanah Merah.
Menteri Besarnya, Datuk Nassuruddin Daud menerusi satu hantaran di Facebook memaklumkan, kerajaan persekutuan bersetuju menyalurkan RM6,612,200 bagi kerja baik pulih cerun terbabit, yang runtuh susulan hujan lebat berterusan pada 26 November tahun lalu.
“Kerajaan Kelantan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan di atas kelulusan yang amat bermakna ini buat rakyat bagi memastikan masalah ini dapat diatasi dengan segera,” katanya.
Menteri Besar itu turut memuat naik gambar menunjukkan sesi perbincangan antara beliau dan Anwar berkaitan kelulusan peruntukan berkenaan.
“Suara rakyat akan terus dibawa dengan semangat budaya politik matang dan sejahtera yang juga menzahirkan semangat federalisme yang tinggi antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan demi kebaikan rakyat,” tambahnya.
Nassuruddin berkata, kerajaan Kelantan mengemukakan permohonan kepada Putrajaya bagi menangani insiden cerun runtuh, susulan hujan berterusan menyebabkan pergerakan tanah sepanjang 130 meter dan mengakibatkan kerosakan struktur ‘sheet pile’ di LRA itu.
Antara kerosakan lain adalah paip air mentah dan terawat pecah serta mengancam bangunan penting seperti bilik klorin, tangki bahan kimia dan sub-stesen milik Tenaga Nasional.
Katanya, kerajaan Kelantan meluluskan peruntukan berjumlah RM235,000 bagi pelaksanaan dua kajian oleh Jabatan Kerja Raya, iaitu Kajian Siasatan Tanah dan Kajian Ukur Terperinci di kawasan runtuhan itu.







