
KOTA KINABALU – Seorang penghantar makanan maut selepas motosikal yang ditunggangnya dilanggar dari belakang oleh sebuah kereta dalam kemalangan di Jalan Lintas berhampiran Jesselton Medical Centre (JMC), di sini pagi Isnin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.15 pagi itu, mangsa lelaki tempatan berumur 32 tahun dilaporkan tercampak ke lorong kiri jalan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan dari Hospital Queen Elizabeth.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, kemalangan melibatkan sebuah motosikal jenis SYM dan kereta Perodua Myvi yang dipandu oleh seorang lelaki tempatan berumur 23 tahun.
“Siasatan awal mendapati mangsa cuba mengelak sebuah Toyota Hilux yang tidak dapat dipastikan nombor pendaftarannya, apabila kenderaan itu memotong dari lorong tengah ke kanan.
“Mangsa membrek secara mengejut sebelum dilanggar dari belakang oleh Perodua Myvi yang berada di belakangnya,” katanya dalam kenyataan media, pada Isnin.

Menurut beliau, pemandu Perodua Myvi mengalami kecederaan di bahagian kepala dan dada dan sedang menerima rawatan di Zon Kecemasan Hospital Queen Elizabeth.
Sehubungan itu, orang awam yang menyaksikan kejadian atau mempunyai rakaman dashcam di laluan terbabit diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik IPD Kota Kinabalu, Inspektor Brymenedren Godon di talian 010-7768802.





