
KOTA KINABALU – Ahli Parlimen Kota Kinabalu merangkap Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin memperuntukkan lebih RM100,000 tahun ini bagi menghargai 367 pelajar cemerlang yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024.
Ahli Parlimen Kota Kinabalu merangkap Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin berkata, pelajar yang memperoleh keputusan antara 6A hingga 11A menerima sumbangan tunai antara RM250 hingga RM300 setiap seorang.
“Ini merupakan tahun kedua berturut-turut Pejabat Parlimen Kota Kinabalu menganjurkan majlis Anugerah Kecemerlangan SPM MADANI, sebagai pengiktirafan kepada kecemerlangan akademik serta galakan kepada pelajar untuk terus berusaha mencapai kejayaan.
“Daripada keseluruhan penerima, seramai 113 pelajar memperoleh 9A dan ke atas,” katanya menerusi kenyataan media pada Isnin.

Selain itu, anugerah khas turut diberikan kepada Pelajar Lelaki Terbaik, Pelajar Perempuan Terbaik dan Sekolah Berprestasi Tinggi. Kedua-dua pelajar terbaik tersebut berasal dari Sekolah Menengah Tshung Tsin; Soh Yim Qin mencatat keputusan 10A+, manakala Mohammad Arif Mohammad Adam memperoleh 9A+ dan 1A.
Dalam pada itu, Chan berkata, pendidikan berkualiti adalah hak setiap pelajar tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang sosioekonomi, sejajar dengan tekad kerajaan MADANI untuk menyediakan akses pendidikan yang menyeluruh dan saksama.
“Seperti yang ditegaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pendidikan adalah asas kepada pembentukan masyarakat MADANI.
“Kita perlu lahirkan generasi yang bukan sahaja berilmu, malah berakhlak demi membina negara yang inklusif dan berdaya saing.
“Sebagai sebahagian daripada pentadbiran MADANI, saya komited menyokong visi ini dengan memastikan tiada pelajar tercicir, sama ada dari keluarga B40, luar bandar, atau yang berdepan cabaran fizikal dan mental,” katanya.

Dalam pada itu, Chan turut menyambut baik dasar Kerajaan yang menjamin penempatan automatik ke program matrikulasi bagi pelajar yang memperoleh 10A dan ke atas dalam SPM 2024, tanpa mengira latar belakang atau kaum, selagi mereka membuat permohonan.
“Ini menunjukkan komitmen kerajaan terhadap keadilan dan kesamarataan dalam pendidikan,” tambahnya.
Beliau turut berkata Pejabat Parlimen Kota Kinabalu akan terus bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (PPD) dan sekolah tempatan untuk meningkatkan infrastruktur pendidikan, menyokong pelajar berisiko serta merancakkan penglibatan komuniti dan sektor swasta.
Tahun lalu, Chan memperuntukkan RM55,000 bagi menghargai 205 pelajar cemerlang SPM 2023 di kawasan Parlimen itu.
Majlis penyampaian anugerah yang berlangsung di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Chung Hwa Likas pada Sabtu itu merupakan edisi kedua program berkenaan bertujuan mengiktiraf kecemerlangan akademik dan memberi dorongan kepada pelajar untuk terus mencapai kejayaan.


