
KOTA KINABALU – Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Joniston Bangkuai mencadangkan agar Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) mempertimbangkan penglibatan lebih banyak rakan strategik global dalam Persidangan dan Ekspo Pelancongan Berasaskan Komuniti Sabah tahun depan.
Beliau berkata, penyertaan Pertubuhan Pelancongan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNWTO) dan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) diyakini dapat mengukuhkan lagi usaha mempromosikan pelancongan luar bandar dan pelancongan berasaskan komuniti di Sabah.
“Melalui penglibatan UNWTO dan UNESCO, kita boleh memperoleh pandangan global yang bernilai, membina jaringan yang lebih kukuh dan memberikan pengiktirafan yang lebih meluas kepada komuniti kita,” katanya semasa majlis penutupan Persidangan dan Ekspo Pelancongan Berasaskan Komuniti di Suria Sabah Mall, pada Ahad.

Cadangan tersebut sejajar dengan seruan Lembaga Pelancongan Sabah semasa Sesi Plenari Ahli Gabungan UNWTO di Samarkand, Uzbekistan pada 2023, yang menekankan keperluan untuk memperkasa pelancongan luar bandar dan komuniti.
Tambah Joniston yang juga Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah,, penglibatan UNESCO akan membawa nilai tambah kerana Sabah kini memiliki pengiktirafan berprestij Triple Crown UNESCO.
Acara tahun ini yang dianjurkan oleh Lembaga Pelancongan Sabah telah menampilkan persidangan antarabangsa buat julung kalinya, dengan kerjasama UNDP dan penyertaan penceramah dari Thailand, Indonesia dan Taiwan.
“Persidangan ini telah meletakkan penanda aras baharu melalui penglibatan antarabangsa yang menyediakan platform bernilai untuk perkongsian ilmu, pembelajaran dan kerjasama yang memberi manfaat terus kepada komuniti luar bandar kita,” katanya.
Joniston berkata kejayaan pelancongan berasaskan komuniti di Sabah adalah hasil penglibatan aktif komuniti luar bandar sendiri.
Beliau turut menyuarakan harapan agar Sabah dapat menyokong dan membawa pengusaha serta penggiat pelancongan komuniti ke ekspo antarabangsa bagi memperkenalkan produk mereka dan meluaskan capaian pasaran.
“Kita masih dalam proses pembelajaran dan pertumbuhan, tetapi kuncinya adalah untuk terus saling menyokong dan memperluaskan apa yang telah kita mulakan kerana masa depan pelancongan terletak pada usaha memperkasakan komuniti yang terlibat secara langsung,” katanya.
Turut hadir pada majlis penutupan ialah Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sabah, Julinus Jeffery Jimit; Penganalisis Program UNDP (Malaysia, Singapura dan Brunei Darussalam), Norhafiza Shafie; serta Juara Tourism Productivity Nexus di Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Rohizam Md Yusoff.


