KUALA LUMPUR – Syarikat tempatan, GGR Motor Sdn Bhd memohon agar kerajaan mempertimbangkan lanjutan Skim Galakan Penggunaan Motosikal Elektrik (EV) atau MARiiCas sebanyak RM2,400 sebagai sokongan kepada usaha memperkenalkan motosikal elektrik mampu milik.
Pengarah Urusan GGR Motor, Muhammad Mussaddiq Mohamed Azmi berkata, langkah ini peru bagi memberi peluang kepada lebih ramai rakyat Malaysia memiliki motosikal EV kerana tempoh rebet yang diberikan agak singkat dan akan berakhir hujung tahun ini.
Menurutnya, usaha memperkenalkan produk baharu dalam kategori EV bukan sesuatu yang mudah memandangkan ia melibatkan kos pembangunan yang tinggi dan penerimaan pasaran yang masih dalam fasa awal.
Menurut beliau, GGR ditubuhkan dengan misi untuk memberi peluang kepada lebih ramai usahawan Bumiputera menjadi pengedar sah dalam industri automotif, khususnya dalam segmen motosikal elektrik yang kini semakin berkembang pesat di peringkat global.

“GGR bukan sekadar pengedar, tetapi kita ada kilang pemasangan sendiri. Kita lakukan R&D (penyelidikan dan pembangunan), kita reka spesifikasi mengikut keperluan pasaran Malaysia.
“Sebab itu kita sangat berharap kerajaan terus beri rebat kerana kita mahu lebih ramai rakyat Malaysia, terutama golongan B40 dan penghantar makanan atau e-hailing memiliki motosikal EV dengan harga mampu milik,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Pelancaran Rasmi Motosikal GGR EV yang berlangsung di Saloma KLCC, di sini, pada Sabtu.
Motosikal GGR EV dilancarkan oleh Timbalan Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan manakala Karnival EV Rider Malaysia dirasmikan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli.

Model Lion G1 yang dilancarkan didatangkan dengan motor berkuasa 3,000 watt, jarak perjalanan sehingga 120 kilometer ditawarkan pada harga asas RM3,999, namun pengguna hanya perlu membayar RM1,599 selepas subsidi MARiiCas.
Katanya lagi, GGR kini satu-satunya jenama milik penuh usahawan Bumiputera yang tampil sebagai pengeluar serta pemilik jenama motosikal EV tersendiri di negara ini.
Malah, sejak dilancarkan secara awal di pasaran, GGR berjaya menjual lebih 3,000 unit dalam tempoh hanya 14 hari, melepasi sasaran awal 1,000 unit dan menunjukkan potensi besar dalam pasaran domestik.
“Ramai penghantar makanan seperti Grab, FoodPanda dan Shopee berdepan kos operasi tinggi akibat harga petrol serta kos penyelenggaraan motosikal petrol yang semakin mahal. Jadi, kami tampilkan penyelesaian EV yang jauh lebih jimat, cekap dan mesra alam.
“Motor GGR boleh dicas seperti telefon bimbit di rumah menggunakan palam tiga pin biasa dan ada pilihan untuk bateri ditukar terus di lokasi ,” jelasnya.
Tambah beliau, motosikal GGR EV juga hadir dengan jaminan sehingga 50,000 kilometer, menjadikan ia antara satu-satunya jenama tempatan yang menawarkan perlindungan selepas jualan sedemikian.
“Kami bina ekosistem menyeluruh. Jika pengguna alami masalah bateri di jalan raya, Battery Crew kami sedia dihantar ke lokasi. Kami juga sedang bekerjasama dengan Gentari (Petronas) untuk rangkaian pengecas EV di stesen minyak,” katanya.

Muhammad Mussaddiq turut menegaskan bahawa semua produk GGR telah melalui proses R&D yang ketat, termasuk modifikasi spesifikasi motosikal asal dari kilang luar negara mengikut keperluan dan peraturan Malaysia.
“Berbeza dengan jenama lain yang hanya bawa masuk terus motosikal dari luar, kami R&D dahulu, buat naik taraf, lakukan pengujian serta sahkan dengan SIRIM sebelum luluskan untuk dijual di pasaran tempatan,” katanya.
GGR Motor turut menjalin kerjasama dengan MARA bagi memperluaskan peluang ekonomi melalui pelantikan usahawan MARA sebagai pengedar EV di seluruh negara, selain menyediakan latihan teknikal TVET serta pembangunan tenaga mahir tempatan.

