KUANTAN – Seorang pensyarah sebuah universiti awam di Melaka yang dilaporkan hilang ketika melakukan aktiviti menyelam di Pulau Chebeh, dekat Pulau Tioman semalam, ditemui selamat.
Mangsa, Eliza M Yusup, 44, ditemukan jam 8.45 pagi oleh orang awam yang sedang melakukan aktiviti snorkeling di Pulau Tulai, kira-kira 1.4 kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang.
Ketua Polis Daerah Rompin, Superintenden Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, mangsa memaklumkan kepada orang awam bahawa dia dihanyutkan arus dan berenang ke Pulau Tulai sebelum tiba di situ pada jam 11.30 malam tadi.
“Mangsa ditemui dalam keadaan selamat dan akan dibawa ke Klinik Kesihatan Kampung Tekek bagi mendapatkan rawatan.
“Keluarga mangsa telah dimaklumkan mengenai keadaannya,” katanya dalam satu kenyataan.
Sebelum itu, Sharif Shai memberitahu mangsa dilaporkan hilang pada jam 12.30 tengah hari pada Sabtu, selepas menyelam seorang diri.
Menurutnya, pada awalnya, mangsa menyelam bersama sembilan penyelam lain dan seorang instruktor di perairan Pulau Chebeh sekitar jam 11 pagi.
“Selesai sesi pada jam 11.45 pagi, semua penyelam naik ke permukaan untuk pulang ke bot, namun mangsa memaklumkan kepada instruktor bahawa dia mahu menyambung menyelam seorang diri.
“Apabila mangsa masih tidak timbul pada jam 12.30 tengah hari, instruktor turun semula untuk mencarinya, namun gagal menemui mangsa dan kemudian pulang ke Kampung Salang untuk meminta bantuan,” katanya.
Beliau berkata, usaha mencari dan menyelamat segera dilancarkan dengan kerjasama orang awam, polis dan bomba Pulau Tioman menggunakan beberapa bot awam.



