
KEPALA BATAS – Seramai 47 penuntut Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang menyertai Program Bakti MADANI selama empat hari tiga malam di Kampung Permatang Bertam, di sini, bermula Khamis.
Program bertemakan khidmat komuniti dan pembinaan jati diri mahasiswa itu bertujuan melahirkan generasi penuntut yang bukan sahaja cemerlang akademik, tetapi juga berjiwa masyarakat dan peka terhadap realiti kehidupan rakyat.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Pengarah Pusat Pembangunan Pelajar, Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Profesor Dr Azizah Omar.
Program Bakti MADANI ini adalah hasil kerjasama strategik USM Pulau Pinang dengan KEMAS Negeri Pulau Pinang, Pusat Khidmat ADUN Bertam, JPKKP Permatang Bertam, Masjid Al-Jamiul Badawi dan Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) Pulau Pinang.
Terdahulu, Pengerusi Qaryah Masjid Al-Jamiul Badawi yang juga Pengerusi JPKKP Permatang Bertam, Datuk Shariful Azhar Othman, mengalu-alukan kehadiran peserta dan pegawai pengiring USM.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak universiti kerana memilih kampung itu sebagai lokasi program.
“Terima kasih juga kepada 16 keluarga angkat dari Kampung Permatang Bertam dan Kampung Permatang Manggis yang sudi menerima para peserta sebagai anak angkat sepanjang tempoh program berlangsung.
“Program seumpama ini dapat mengeratkan hubungan antara mahasiswa dengan masyarakat kampung, di samping memberi pengalaman bermakna kepada para peserta,” katanya.

Pelbagai aktiviti dirancang sepanjang program, antaranya ‘Fit Kampung (Brisk Walk)’, Gotong-Royong Desa Ceria, Malam Kebudayaan, Malam Kerohanian sempena Maal Hijrah, serta acara kemuncak Program Santunan Desa KEMAS Penang 2025 yang akan berlangsung selama dua hari di Sekolah Menengah Agama Daeratul Ma’arifil Wataniah (DMW 1), Kepala Batas.
Turut hadir memeriahkan majlis perasmian ialah Timbalan Pengarah KEMAS Negeri Pulau Pinang, Mohd Hafiz Mohd Rafee; Pengarah Operasi JKOM Pulau Pinang, Muhammad A’fif Datuk Osman; Yang Di-Pertua Majlis Perwakilan Pelajar USM, Mohd Arif Esa; dan Naib Yang Di-Pertua III MPP USM yang juga Pengarah Program, Muhammad Amiruddin Abdul Manaf.





