
KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara (AGC) menegaskan pihaknya tidak pernah mempertikai, mengetepikan atau berhasrat menggantung Perintah Pengampunan Bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Sebaliknya, AGC menjelaskan persoalan yang dibangkitkan pihaknya adalah berkaitan kesan undang-undang Perintah Pelepasan yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 6 November lalu terhadap baki hukuman penjara Najib dalam kes SRC International serta implikasinya terhadap pelaksanaan hukuman dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Dalam satu kenyataan hari ini, AGC berkata, pihaknya sentiasa menjunjung kedaulatan undang-undang, menghormati kedudukan institusi Yang di-Pertuan Agong dan mengiktiraf prerogatif pengampunan Baginda seperti diperuntukkan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, persoalan itu timbul susulan pembayaran denda RM50 juta oleh Najib dan pengeluaran Perintah Pelepasan Selepas Pembayaran Denda (Order of Discharge on Payment of Fine) oleh Mahkamah Tinggi pada tarikh sama.
Perintah berkenaan antara lain menyatakan bahawa Najib boleh dilepaskan serta-merta selepas pembayaran denda RM50 juta kepada mahkamah.
Bagaimanapun, AGC berkata, perintah itu turut menyatakan Najib perlu menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028 berdasarkan Perintah Pengampunan Bersyarat.
Justeru, timbul persoalan sama ada pelepasan berkenaan hanya membabitkan pembayaran denda dan membolehkan baki hukuman SRC International diteruskan menerusi tahanan di rumah atau membawa kesan bahawa hukuman penjara dalam kes itu sudah selesai sepenuhnya dari segi undang-undang.
“Persoalan ini mempunyai kaitan langsung dengan perintah hukuman Mahkamah Tinggi dalam kes 1MDB, yang menetapkan hukuman penjara dalam kes berkenaan hendaklah bermula selepas hukuman dalam kes SRC International selesai dijalani.
“Tambahan pula, permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman bagi kes 1MDB telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi pada 14 Oktober lalu,” menurut kenyataan itu.

AGC menjelaskan, sekiranya hukuman dalam kes SRC International masih berkuat kuasa, baki hukuman berkenaan perlu dilaksanakan selaras dengan Perintah Pengampunan Bersyarat.
Sebaliknya, jika hukuman SRC International dianggap sudah selesai dari segi undang-undang, kesannya terhadap tarikh permulaan hukuman dalam kes 1MDB perlu ditentukan.
Menurut AGC, kedua-dua kemungkinan itu mempunyai implikasi undang-undang berbeza dan tidak wajar diputuskan berdasarkan andaian atau tafsiran sebelah pihak.
Dalam pada itu, AGC mengambil maklum kenyataan media Tetuan Shafee & Co., firma guaman yang mewakili Najib, berhubung pelaksanaan Perintah Pengampunan Bersyarat bertarikh 18 September lalu serta penangguhan sementara pelaksanaan tahanan di rumah.
AGC turut memandang serius dakwaan dalam kenyataan berkenaan, khususnya tuduhan bahawa Peguam Negara bertindak melampaui bidang kuasa, mengingkari titah Yang di-Pertuan Agong, mengetepikan perintah mahkamah dan menyebabkan Najib ditahan secara tidak sah.
“Dakwaan berkenaan adalah serius dan perlu diperjelas supaya masyarakat tidak mendapat gambaran yang salah mengenai kedudukan undang-undang sebenar,” katanya.
AGC turut menolak dakwaan bahawa tindakan mendapatkan penjelasan undang-undang merupakan percubaan mengambil alih atau melaksanakan kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong.
Menurutnya, kuasa pengampunan dan kuasa mahkamah untuk mentafsir serta menentukan kesan undang-undang sesuatu perintah merupakan dua perkara berbeza.
“Mendapatkan keputusan mahkamah mengenai pelaksanaan sesuatu perintah tidak sama sekali bermaksud mempersoalkan kewibawaan pihak yang mengeluarkan perintah berkenaan.
“Sehubungan itu, adalah tidak tepat untuk menyamakan pendirian AGC bahawa sesuatu persoalan undang-undang memerlukan penentuan mahkamah dengan dakwaan bahawa Peguam Negara sudah mengambil alih prerogatif pengampunan Baginda,” menurut kenyataan itu.
AGC berpandangan, saluran sewajarnya bagi menyelesaikan persoalan berkenaan adalah melalui mahkamah yang mempunyai bidang kuasa supaya keputusan serta arahan pelaksanaan yang jelas dapat diperoleh tanpa menjejaskan kedudukan mana-mana institusi.
Dalam masa sama, AGC menegaskan tanggungjawab pihak berkuasa penjara perlu ditentukan berdasarkan kewajipan undang-undang dan perintah yang sedang berkuat kuasa.
Pihaknya turut menolak sebarang dakwaan atau sindiran bahawa Peguam Negara atau pihak tertentu mengarahkan pihak berkuasa penjara bertindak secara tidak sah tanpa disokong fakta yang jelas.


