
GERIK – Seorang lelaki warga emas maut manakala dua lagi cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Proton Persona dan lori 10 tan berhampiran Banjaran Titiwangsa, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) arah Gerik ke Kelantan, pada Khamis.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada jam 1.02 tengah hari.
“Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik tiba di lokasi pada jam 2.11 petang memandangkan lokasi kejadian terletak kira-kira 70 kilometer dari balai,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Menurut beliau, kemalangan melibatkan tiga penumpang dalam kereta tersebut iaitu pemandu lelaki yang mengalami cedera ringan, seorang wanita di tempat duduk belakang yang mengadu sakit dada, serta seorang lelaki warga emas berusia lingkungan 70-an yang cedera parah di bahagian kaki.

“Wanita terbabit dihantar ke Hospital Gerik menaiki jentera EMRS untuk rawatan lanjut.
“Warga emas yang tersepit pula berjaya dikeluarkan menggunakan peralatan khas, namun disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” ujarnya.
Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.




