
KOTA KINABALU – Majlis Kesyukuran Doa Akhir Tahun dan Awal Tahun Baharu Hijrah Peringkat Negeri Sabah Tahun 1447H/2025M di Masjid negeri Sabah pada Khamis disemarakkan dengan pengisian rohani yang penuh bermakna.

Antara pengisian berkenaan ialah bacaan Surah Yasin dan tahlil, doa selamat serta bacaan doa akhir dan awal tahun sebagai manifestasi kesyukuran dan harapan baharu sempena kedatangan tahun hijrah yang seterusnya.
Majlis turut diimarahkan dengan ceramah Maal Hijrah oleh penceramah bebas terkenal, Ustaz Mohammad Kazim Elias yang menekankan tentang pentingnya al-Quran dalam kehidupan seharian.

Dengan tema ‘Membangun Ummah MADANI’, majlis ini merupakan satu usaha murni yang bukan sahaja menyatukan umat Islam di Sabah, malah memperkukuhkan jati diri dan semangat penghijrahan yang menjadi tonggak penting dalam sejarah Islam.






