
KETUA Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Ismail Yusop menyangkal dakwaan sesetengah pihak bahawa peranan J-KOM berkisar kepada politik kepartian, sebaliknya beliau menegaskan peranan dan tanggungjawab agensi itu lebih kepada komunikasi sosiopolitik yang bertujuan membina masyarakat yang bermaklumat dan memahami peranan mereka dalam negara.
Menurut Ismail, sosiopolitik merangkumi dimensi sosial dalam kehidupan bermasyarakat yang tidak wajar dilihat secara sempit hanya sebagai perebutan kuasa atau jawatan.
“Sering kali kalau kita dengar perkataan ‘politik’, ia membawa konotasi negatif. Sedangkan dalam rumah tangga pun ada politik – politik rumah tangga. Itu unit sosial paling kecil. Apatah lagi dalam konteks masyarakat dan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sebuah podcast, Minda Tok Abah pada Jumaat.
Ismail yang juga mesra disapa sebagai Tok Abah berkata, rakyat tidak boleh mengambil pendirian “tidak mahu berpolitik” kerana kehidupan seharian juga dipengaruhi oleh dasar dan keputusan politik.
“Kalau ada orang kata ‘saya tidak berpolitik’, saya fikir itu tidak boleh. Sebab dalam hidup ini, apa yang tidak ada kaitan dengan politik?” ujarnya.
Beliau turut menjelaskan bahawa peranan J-KOM bukan sebagai agensi politik kerajaan, sebaliknya merupakan agensi sosiopolitik yang memainkan peranan penting dalam menyampaikan maklumat kerajaan semasa kepada rakyat.
“Saya ulang, J-KOM bukan agensi politik. J-KOM adalah agensi sosiopolitik yang bertanggungjawab memastikan segala dasar, inisiatif dan polisi ‘government of the day’ dapat sampai maklumatnya kepada rakyat,” ujarnya.
Tambah beliau lagi, tanggungjawab komunikasi kerajaan tidak hanya digalas oleh J-KOM semata-mata, tetapi turut melibatkan Kementerian Komunikasi sebagai entiti induk serta pelbagai agensi lain di bawah kementerian berkenaan.
Selain itu, Ismail turut menyingkap sejarah agensi terdahulu dan unit penerangan khas yang pernah dikaitkan dengan pendekatan propaganda.
Namun, menurutnya, pendekatan lama itu tidak lagi sesuai dalam era komunikasi moden yang lebih terbuka.
“Saya tidak menafikan, barangkali pada waktu dan ketika itu itulah caranya. Tetapi hari ini, suasana sudah berbeza. Kita tidak boleh lagi menggunakan cara konvensional seperti dahulu,” katanya.
Menurut beliau, dalam suasana hari ini, penyampaian maklumat perlu dilakukan dengan pendekatan yang lebih relevan dan menyeluruh, sesuai dengan cabaran komunikasi semasa.
Justeru, Ismail menyimpulkan bahawa matlamat J-KOM dalam kerangka komunikasi sosiopolitik ialah untuk membina masyarakat yang bukan sahaja bermaklumat, tetapi memahami tanggungjawab hidup bersama dalam sebuah negara.







