
KOTA KINABALU – Pemain industri peranti rokok elektronik atau vape menggesa kerajaan mewujudkan majlis pemantauan bagi mengekang isu penyalahgunaan dalam kalangan belia termasuk pelajar.
Pengarah Urusan Nanostix Innovations Sdn. Bhd, Shahabudeen Jalil berkata, penubuhan pemantauan ‘vape’ Malaysia dilihat mampu menjadi wadah kepada usaha bagi mengekang isu penyalahgunaan vape khasnya dalam kalangan belia, termasuk pelajar sekolah menerusi pemantauan kerajaan, dengan menggabungkan kerjasama pelbagai agensi.
“Misalnya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan pihak berkuasa tempatan,” ujar beliau.
Jelasnya, penubuhan majlis itu akan menekankan aspek kawal selia industri vape secara menyeluruh.
“Penyalahgunaan dadah melalui peranti vape yang berlaku sekarang telah menjadi kebimbangan baharu yang tidak wajar untuk dipandang remeh atau dianggap mudah.
“Sebagai syarikat tempatan berdaftar sejak 2019 dan mematuhi piawaian ketat kawal selia, Nanostix komited untuk bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa dalam membanteras penyalahgunaan ini kerana kita bimbang dan sedar bahawa masalah ini perlu ditangani segera,” katanya dalam kenyataan media, pada Sabtu.

Dalam pada itu, katanya penguatkuasaan di pintu sempadan negara harap dapat ditingkatkan bagi mengekang penyeludupan cecair haram dan meningkat usaha lain seperti kempen kesedaran di sekolah.
“Kita ingin menyeru agar kerajaan turut mempergiat usaha pemantauan berkala di premis tempatan kerana ini juga amat penting untuk dilaksanakan.
“Seiring dengan usaha lain seperti melancarkan kempen kesedaran di sekolah bagi mendidik belia berkenaan bahaya penyalahgunaan dadah di dalam peranti vape.
“Kita juga yakin usaha ini mesti melibatkan pelbagai pihak, sekali gus direalisasikan dengan kadar segera kerana ini adalah satu langkah tuntas bagi membentuk generasi baharu kita yang sihat, bebas daripada dadah,” katanya.
Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulas isu tersebut dan menyatakan bahawa usaha khusus perlu diambil untuk menyelesaikan masalah penyalahgunaan vape.
Katanya, masalah itu adalah amat serius kerana melibatkan masa depan negara dan belia yang bakal menjadi peneraju negara kelak.
Sebelum ini, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil turut memberitahu bahawa kerajaan bakal mengambil tindakan serius kepada platform dalam talian yang membenarkan penjualan produk terlarang termasuk dadah yang dicampur dalam cecair vape.







