
SANDAKAN – Ahli Parlimen Sandakan merangkap pemimpin Parti Tindakan Demokratik (DAP), Vivian Wong Shir Yee akan menganjurkan Kejohanan Piala Harapan Ragbi Sandakan 2025 pada hujung minggu ini, 21 dan 22 Jun, dengan penyertaan pelbagai pasukan berbakat dari seluruh Sabah.
Acara yang bakal berlangsung di Padang Ragbi Eagles Rugby Club (ERC), Batu 5, Sandakan itu akan menghimpunkan pasukan lelaki dan wanita dari Tawau, Lahad Datu, Keningau, Kota Kinabalu, Telupid serta Sandakan selaku tuan rumah.
Sebanyak 12 pasukan lelaki akan bersaing dalam kategori 10-sebelah, antaranya XCV Badbois, Sabah OSCA Warriors, Hunters Rugby Club, Nabawan Kalawon, ERC A dan B, Titanium RC, SS Scorpion A, Naughtyboyz RC, Bomba, Hornets RC dan Saga Kinabatangan.
Bagi kategori wanita pula, format 7-sebelah akan dipertandingkan melibatkan empat pasukan iaitu Flyers, Java, Java B dan Kung Fu Panda.
Menurut Vivian, kejohanan ini bukan sahaja memberi peluang kepada golongan belia untuk bergiat aktif dalam sukan, malah berupaya memupuk semangat kesukanan dan memperkukuh perpaduan dalam kalangan masyarakat setempat.
“Sukan adalah medium penting untuk menyatukan rakyat dan menyebarkan tenaga positif.
“Sandakan memerlukan lebih ramai belia yang sihat dan bertenaga untuk bersama-sama membangunkan komuniti ke arah masa depan yang lebih gemilang,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau turut mengalu-alukan kehadiran orang ramai ke lokasi kejohanan bermula seawal pukul 7 pagi hingga 5 petang bagi menyaksikan aksi ragbi yang penuh semangat dan menghiburkan.





