
KETELUSAN pendidik Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) membina asas literasi, sahsiah, dan jati diri anak bangsa adalah sumbangan sangat besar dan tidak ternilai harganya.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, di sebalik kejayaan anak bangsa, tersembunyi peranan besar para pendidik dan pemaju masyarakat KEMAS yang mencurahkan bakti di peringkat akar umbi.
“Tanpa keikhlasan dan dedikasi mereka membimbing dari usia muda, sukar untuk kita membayangkan bagaimana masyarakat desa dapat terus maju dan berkembang seperti hari ini.
“Bersempena Hari Pendidik KEMAS 2025, saya ingin merakamkan sekalung penghargaan kepada seluruh warga pendidik KEMAS di segenap pelosok tanah air.
“Ketulusan anda membina asas literasi, sahsiah dan jati diri anak bangsa adalah sumbangan yang sangat besar dan tidak ternilai harganya,” katanya menerusi hantaran di Facebook, pada Khamis.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata tema sambutan tahun ini “Di Sini Bermula” amat bertepatan dengan hakikat peranan guru KEMAS sebagai antara individu pertama yang memperkenalkan dunia ilmu kepada anak-anak kecil.
“Di sinilah mereka mula belajar menyebut huruf, mengenal angka, membina keyakinan diri dan memahami erti hormat. Di sinilah langkah awal mereka menuju masa depan bermula,” katanya.
Beliau turut menggesa pendidik KEMAS untuk terus menyemai ilmu dengan penuh kasih sayang dan komitmen.
“Insya-Allah, usaha murni itu akan terus mewarnai masa depan negara dengan generasi yang berilmu, beradab, dan berjati diri,” katanya.




