
JOHOR BAHRU – Bersempena Tahun Melawat Johor 2026 nanti, Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut mengambil inisiatif dengan meningkatkan kawalan keselamatan di beberapa lokasi tumpuan dalam daerah ini.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, tujuh lokasi terpilih merupakan kawasan berisiko ekoran sentiasa sesak selain menjadi tempat tumpuan pelancong.
“Omnipresence ini membabitkan 80 anggota polis selain penugasan rutin oleh Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan kereta peronda MPV. Mereka akan berkunjung ke kawasan tumpuan awam secara berjalan kaki, melawat premis serta berinteraksi dengan pengunjung dan peniaga, bagi mewujudkan situasi Johor yang selamat untuk pelawat, pelabur, peniaga dan penduduk.
“Tujuh lokasi terlibat dalam fasa pertama ini adalah Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Bazar Karat, KSL, Berjaya Waterfront, Southkey Mid Valley, Sentosa Pelangi dan Angsana Mall. Kawasan lain seperti Tampoi dan Johor Bahru Utara (JBU) juga akan dilibatkan pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan bagi bulan Jun 2025 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, yang turut dipaparkan secara langsung di Facebook rasmi Polis Johor.

Menurut beliau, penugasan omnipresence yang diaktifkan sejak 14 Jun lalu bagi fasa pertama dilihat memberi impak positif dalam mengurangkan kejadian jenayah serta kegusaran orang awam.
“Setakat ini, tiada laporan jenayah diterima di kawasan yang diliputi inisiatif omnipresence, dan maklum balas yang diterima di media sosial juga menunjukkan penerimaan yang positif daripada orang awam.
“Keutamaan diberikan pada waktu puncak seperti waktu bekerja, waktu rehat dan hujung minggu. Contohnya, BSI beroperasi 24 jam manakala Bazar Karat pula lebih aktif pada waktu petang, jadi kita ikut masa itu secara giliran.
“Kita akan teruskan penugasan ini secara berterusan sepanjang tahun dan menilai keberkesanannya dari semasa ke semasa,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Kumar turut memaklumkan bahawa pihaknya telah menghantar permohonan rasmi kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi mendapatkan bantuan daripada Pasukan Polis Marin dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) untuk memperluas penugasan ini ke kawasan yang lebih besar.
“Saya sudah berbincang dengan Pengarah KDN dan kini kita menunggu maklum balas bagi sokongan daripada unit-unit khas ini,” jelasnya.







