PUTRAJAYA – Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM), Datuk Ismail Yusop, menerima kunjungan hormat daripada Ketua Komunikasi Kerajaan Singapura, Foo Kok Jwee, dalam satu pertemuan rasmi yang berlangsung di ibu pejabat JKOM di Putrajaya pada Selasa.
Kunjungan tersebut bertujuan untuk mendapatkan gambaran menyeluruh berkaitan pelaksanaan gerak kerja komunikasi strategik dan operasi media kerajaan Malaysia dalam menyampaikan dasar-dasar kerajaan kepada rakyat.
Menurut Ismail, pertemuan itu menjadi wadah penting bagi kedua-dua negara berkongsi pengalaman dalam memperkukuh keberkesanan komunikasi kerajaan, terutamanya dalam konteks penyampaian maklumat yang tepat, inklusif dan berkesan kepada masyarakat.
“Pertemuan kali ini adalah bagi berkongsi gerak kerja komunikasi bagi penyampaian dasar-dasar kerajaan kepada rakyat khususnya selain operasi media dan komunikasi strategik dipraktikkan di Malaysia.
“Saya mewakili JKOM, sesungguhnya amat berbesar hati menerima kunjungan ini daripada pihak Kerajaan Singapura,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Selasa.

Beliau turut memaklumkan bahawa ini merupakan pertemuan kedua antara JKOM dan pihak Kerajaan Singapura, selepas pertemuan pertama pada tahun 2021 yang dihadiri oleh Menteri Kanan Komunikasi Kerajaan Singapura.
Dalam sesi pertemuan tersebut, kedua-dua pihak membincangkan pendekatan dan strategi komunikasi yang diguna pakai oleh kerajaan Malaysia, termasuk pengurusan maklumat dasar awam, pelibatan komuniti serta peranan media arus perdana dan digital dalam membentuk kefahaman rakyat terhadap inisiatif kerajaan.
Pertemuan ini juga dilihat selari dengan aspirasi Malaysia MADANI, yang menekankan nilai keterangkuman, kecekapan dan ketelusan dalam tadbir urus serta komunikasi antara kerajaan dan rakyat.
Beliau juga berharap sesi seperti ini dapat diteruskan dari semasa ke semasa sebagai landasan kerjasama serantau dalam bidang komunikasi strategik yang semakin mencabar dalam era digital.
“Semoga dengan perkongsian petang ini dapat memanfaatkan kedua-dua pihak khususnya dalam bidang komunikasi,” ujarnya.




