
KETIKA rakyat hangat berdebat tentang pilihan antara Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), kita terlupa bahawa kedua-duanya hanyalah mekanisme — alat untuk mengumpul hasil negara. Sama ada SST atau GST, natijahnya tetap bergantung kepada bagaimana wang itu dibelanjakan, dan lebih penting lagi, bagaimana ia tidak dibazirkan.
Perdebatan teknikal tentang bentuk cukai tidak membawa makna besar kepada rakyat jika hasil kutipan itu terus bocor akibat ketirisan, rasuah atau salah urus. Maka fokus utama bukan pada kaedah kutipan, tetapi pada pengurusan hasil.
Dalam hal ini, langkah yang diambil oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim patut diberikan perhatian yang serius oleh rakyat. Sejak menerajui Kerajaan MADANI, beliau menunjukkan komitmen yang tegas, konsisten dan tanpa kompromi dalam memerangi rasuah serta membasmi ketirisan yang sekian lama membelenggu sistem pentadbiran negara.
Bukan sekadar retorik, malah kita dapat lihat sendiri pelbagai siri tindakan agresif oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini:
• Ratusan juta ringgit wang tunai dan aset dirampas semula,
• Individu berpangkat tinggi termasuk ahli politik, pegawai kerajaan, dan pemimpin korporat dibawa ke muka pengadilan,
• Sindiket penipuan, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram berjaya ditumpaskan,
• Dan yang paling signifikan, tiada siapa yang ‘kebal’ — termasuk tokoh-tokoh besar yang sebelum ini dianggap ‘terlindung’.
Ini bukan sahaja bukti keazaman politik yang luar biasa, malah satu manifestasi keikhlasan pentadbiran Anwar Ibrahim untuk membina semula keyakinan rakyat terhadap institusi kerajaan.
Lebih penting, segala usaha ini dilakukan demi memastikan setiap sen hasil cukai — tidak kira dikutip melalui kaedah apa pun — benar-benar sampai ke tangan rakyat dalam bentuk subsidi, bantuan pendidikan, kesihatan, perumahan dan infrastruktur.
Rakyat Malaysia berhak untuk menuntut sistem percukaian yang adil. Tetapi lebih penting dari itu, kita juga bertanggungjawab untuk menyokong pemimpin yang sanggup mengambil risiko politik demi membersihkan negara dari belenggu rasuah dan salah guna kuasa.
Pilihan di tangan kita. Sama ada kita terus berbalah tentang label dan angka, atau kita memilih untuk menyokong satu usaha besar membina negara yang lebih telus, amanah dan berwibawa.
Kerajaan MADANI bukanlah sempurna — namun ia sedang menunjukkan bahawa perubahan itu bukan sekadar slogan. Ia sedang dilaksanakan, satu demi satu, dengan berani dan bersungguh-sungguh.







