
PENAMPANG – Polis giat mengesan suspek yang melakukan perbuatan khianat dengan merosakkan kabel yang berlaku di sebuah kampung, di sini, seperti mana yang tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, pihaknya telah menerima satu laporan polis berhubung kes khianat tersebut.
“Menerusi hantaran beberapa video pendek yang dimuat naik di dalam sebuah laman komuniti Facebook memaparkan seorang individu sedang menarik kabel dipercayai perbuatan khianat.
“Namun kes tersebut masih lagi dalam siasatan pihak polis dan dalam usaha untuk menjejaki suspek,” katanya dalam kenyataan media, pada Isnin.
Kes disiasat dibawah Seksyen 431A Kanun Keseksaan.
Sammy meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian untuk menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd anis Abdullah di talian 013-6365734.
“Orang ramai juga dinasihat agar tidak menyebarkan maklumat palsu mengenai insiden di media sosial yang boleh mengganggu siasatan,” ujarnya.





