ISTANBUL – Sebuah pesawat Air India dilapor terhempas sejurus berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sardar Vallabhbhai Patel di negeri barat India, Gujarat, hari ini, lapor Anadolu Ajansi yang memetik pengesahan daripada pihak polis.
Nahas itu berlaku di kawasan Meghaninagar, menurut laporan Press Trust of India memetik pihak berkuasa tempatan.
Beberapa ambulans dikejarkan ke lokasi kejadian dan pasukan kecemasan kini sedang menjalankan operasi menyelamat.
Walaupun beberapa media melaporkan kemungkinan terdapat penumpang di dalam pesawat, pihak berkuasa masih belum mengesahkan jumlah individu dalam pesawat mahupun sebarang kemalangan jiwa.
“Saya amat terkejut mendengar tentang insiden pesawat AirIndia penerbangan Ahmedabad ke London berhampiran lapangan terbang Ahmedabad.
“Mendoakan keselamatan semua penumpang dan kru,” kata Ahli Parlimen India, Yusuf Pathan di platform X.
Setakat waktu laporan ini diterbitkan, belum ada kenyataan rasmi daripada Air India atau Lembaga Penerbangan Awam India (DGCA).
Laporan awal bagaimanapun, menyebut saksi melihat kepulan asap tebal menyelubungi lokasi tragedi, lapor Reuters.
Pesawat Boeing 787 Dreamliner kod AI171 berkenaan membawa 230 penumpang dan 12 kru dalam perjalanan dari Ahmedabad ke Lapangan Terbang Gatwick, di London, United Kingdom.
Memetik laporan NDTV, pesawat berlepas sekitar 1.17 tengah hari, Khamis.
Portal India Today memetik sumber melaporkan, bekas Ketua Menteri, Gujarat Vijay Rupani dipercayai berada dalam pesawat itu.









