
JOHOR BAHRU – Tiada kes penyakit mulut dan kaki (FMD) dikesan dalam kalangan haiwan korban sempena musim Aidiladha ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor, Datuk Zahari Sarip berkata, selain isu kesihatan, pihaknya turut menilai pelbagai sudut lain bagi memastikan kelancaran aktiviti sembelihan itu mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
“Untuk rekod, tahun lepas sebanyak 9,304 ekor ternakan dikorbankan melibatkan 204 pusat sembelihan sementara (PSS) di seluruh negeri. Dan bagi tahun ini, kita telah meluluskan 220 PSS sekaligus menjangkakan jumlah ternakan korban meningkat.
“Justeru, semua pihak yang diberi kebenaran menjalankan penyembelihan perlu mematuhi SOP ditetapkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar.
“Antara SOP yang perlu dipatuhi termasuklah memastikan kesihatan haiwan korban dalam keadaan baik, serta memastikan pusat sembelihan dan peralatan yang digunakan bersih dan selamat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membuat tinjauan barangan keperluan harian sempena Aidiladha di Pasar Tani Kekal Jalan Datin Halimah, di sini, hari ini, yang turut dipaparkan secara langsung di Facebook rasminya.

Menurut beliau, menjadi kewajipan untuk semua pihak yang bakal melaksanakan aktiviti tersebut mendapatkan kebenaran daripada pihak berkaitan terlebih dahulu bagi mengelakkan kejadian tidak diingini termasuklah isu kesihatan yang mungkin dialami haiwan sembelihan pada hari berkenaan.
“Pegawai veterinar di setiap daerah juga akan melakukan pemantauan di lokasi-lokasi PKSS bagi memastikan semua pihak mematuhi peraturan yang telah ditetapkan,” katanya.



