
SANDAKAN – Pasukan Polis Marin (PPM) Sandakan, Wilayah 4 Sabah berjaya mengesan lokasi penyimpanan isirung sawit tanpa permit dengan anggaran nilai keseluruhan rampasan mencecah RM2,543,500 dalam satu operasi yang dijalankan di sebuah gudang tidak berdaftar di Batu 16, di sini, pada Rabu.
Menurut kenyataan PPM Sandakan, pemeriksaan lanjut di premis berkenaan menemuikan sejumlah biji isirung sawit ‘kernel’ yang disimpan tanpa sebarang dokumen atau permit yang sah.
“Tangkapan turut dilakukan ke atas dua warga tempatan dan seorang warga asing yang berada di lokasi semasa serbuan dijalankan.
“Kesemua barang kes telah dirampas dengan anggaran nilai keseluruhan rampasan mencecah RM2,543,500.
“Kes kini disiasat di bawah Peraturan-Peraturan Lembaga Minyak Sawit Malaysia 2005,” kata kenyataan tersebut.
Sehubungan itu, PPM Wilayah 4 Sabah menegaskan bahawa pihaknya akan terus komited dalam membanteras kegiatan jenayah penyeludupan demi keselamatan dan kesejahteraan negara.


