PUTRAJAYA – Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mengenal pasti kegagalan beberapa pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur mengemas kini dan mengisytiharkan pelupusan harta membabitkan beberapa nombor pendaftaran kenderaan.
EAIC dalam satu kenyataan berkata, siasatan dilakukan susulan aduan diterima berhubung perkara itu.
“Siasatan dijalankan berdasarkan aduan diterima mengikut Subseksyen 27(4) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700].
“Hasil siasatan mendapati bahawa terdapat beberapa kenderaan atas nama pegawai JPJ Kuala Lumpur yang masih belum diisytiharkan lupus melalui sistem HRMIS, walaupun kenderaan tersebut sudah tidak berada dalam pemilikannya sejak sekian lama,” kata kenyataan itu.
Tambah kenyataan berkenaan lagi, kegagalan itu adalah pelanggaran terhadap Subperaturan 10(2), Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U.(A) 395/1993].
EAIC memutuskan untuk merujuk hasil siasatan kepada Pihak Berkuasa Tatatertib (PBT) JPJ, dengan cadangan agar surat teguran diberikan kepada pegawai JPJ yang terlibat.







