
PENAMPANG – Malaysia adalah sebuah negara yang menjunjung keluhuran undang-undang, bukan didorong oleh persepsi atau fitnah, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata demikian merujuk kepada isu pengedaran video tular membabitkan wakil rakyat Sabah yang mencetuskan pelbagai spekulasi dan tuduhan melulu berkaitan rasuah, tanpa melalui proses siasatan yang sah dan adil.
“Bila hal itu hangat, saya tentu minta pandangan dari pegawai penyiasat.
“Jadi saya tanya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), saya tengok video ini nampak macam betul-betul, apa masalahnya.
“Tuduhannya bahawa kita menutup, itu adalah persepsi yang seolah-olah ada usaha menutup kesalahan.
“Rasuah itu mesti ditangani dengan bukti, bukan dengan fitnah. Negara ini negara hukum, bukan negara persepsi,” katanya semasa berucap semasa Majlis Perasmian Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah di Hongkod Koisaan KDCA di sini pada Jumaat.
Jelasnya, video yang belum disahkan kesahihannya tidak boleh terus dijadikan asas tuduhan.
“Kalau ikut rukun video sekerat-sekerat ini boleh disiasat tapi tidak boleh didakwa. Mahkamah tidak akan terima video sekerat-sekerat apalagi zaman AI,” katanya.
Menurut beliau, negara tidak akan selamat sekiranya rasuah dibiarkan berleluasa, namun dalam masa sama, tindakan terhadap rasuah tidak boleh dibuat berdasarkan tuduhan kosong dan manipulasi.

Anwar turut menjelaskan, dalam beberapa kes melibatkan video tular, agensi seperti SPRM merujuk bahan tersebut kepada pakar forensik untuk pengesahan, namun penilaian teknikal diperlukan sebelum sebarang tindakan lanjut dapat diambil.
Tambahnya, kerajaan hari ini berusaha memperkukuh integriti sistem perundangan negara termasuk dalam kalangan penjawat awam, penguat kuasa, ahli politik dan kehakiman.
Beliau turut memberi jaminan bahawa kerajaan tidak akan melindungi mana-mana individu yang terlibat dalam rasuah.
“Ada menteri, pegawai, bahkan hakim yang rasuah. Sebab itu, kita harus teliti semua peringkat dan bersihkan sistem.
“Bukan Perdana Menteri yang siasat, dakwa dan hukum, itu diktator namanya,” katanya.
Anwar mengingatkan supaya sistem pemerintahan tidak boleh kembali kepada era diktator iaitu hanya satu pihak sahaja mengawal siasatan, pendakwaan dan kehakiman.
“Saya tahu sistem itu pernah wujud. Tapi jangan minta saya ulangi.
“Tanggungjawab kita adalah memperbaiki dan memperkukuh,” ujarnya.





