CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) merakam keterangan seorang wanita yang disyaki menyebarkan berita palsu berkaitan dakwaan pembekalan diesel ke Filipina.
MCMC dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya turut menyita sebuah telefon bimbit dan satu kad SIM yang dipercayai digunakan untuk memuat naik kandungan berkenaan bagi membantu siasatan lanjut.
“Tindakan ini dibuat berpandukan Seksyen 248 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
“Seksyen ini memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan,” menurut kenyataan itu.
MCMC berkata, pihaknya memandang serius sebarang penyalahgunaan platform media sosial dan saluran digital untuk menyebarkan maklumat tidak benar yang boleh mengelirukan orang ramai.
“Sehubungan itu, tindakan penguatkuasaan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang serta menjejaskan ketenteraman awam,” katanya.
Kenyataan sama turut memaklumkan bahawa wanita berkenaan hadir memberi keterangan dengan ditemani peguam.
Sebelum ini, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, menafikan dakwaan yang tular di media sosial kononnya kerajaan menyalurkan bekalan diesel ke Filipina.
Beliau menjelaskan bahawa dakwaan tersebut berpunca daripada salah faham berkaitan pergerakan logistik perkapalan di perairan Johor.
Dalam pada itu, MCMC turut memaklumkan siasatan mendapati diesel berkenaan adalah milik syarikat perdagangan antarabangsa, Vitol, dan bukan milik Petroliam Nasional Berhad (Petronas) atau kerajaan Malaysia seperti yang didakwa.





