Jangan biar politik digital peletakan jawatan Rafizi, Nik Nazmi lemahkan PKR

PUTRAJAYA –  Pemimpin PKR perlu lebih bijak menangani gelombang maklumat digital agar tidak terperangkap dalam permainan persepsi, berhubung peletakan jawatan Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad daripada barisan Jemaah Menteri.

Pemerhati geopolitik dan hubungan antarabangsa Universiti Selangor (UNISEL), Ismail Hashim Yahaya berpandangan, ketidaktentuan berterusan sehingga melemahkan kestabilan parti itu menjelang pilihan raya akan berlaku jika PKR gagal mengawal naratif terbabit.

Menurutnya, dengan adanya teknologi kecerdasan buatan (AI) dan algoritma media sosial, maklumat boleh dipaparkan mengikut kecenderungan individu sekali gus mencipta gelembung maklumat yang mengukuhkan kepercayaan seseorang terhadap naratif tertentu

“Jika dibiarkan  berterusan ia  menyebabkan polarisasi lebih ketara dalam kalangan masyarakat dan ahli PKR. Dengan naratif yang beremosi serta sering kali bersifat ekstrem jurang antara kumpulan yang berbeza semakin melebar, mengurangkan ruang bagi dialog secara konstruktif.

“Ketidakstabilan dalaman boleh memberi kesan negatif kepada imej PKR di mata rakyat  terutamanya jika peralihan kuasa tidak dikendalikan dengan baik. Perpecahan dan ketidaktentuan dalam struktur kepimpinan boleh mencetuskan kelemahan dalam strategi politik parti dan memberikan ruang pihak lawan memanfaatkan keadaan itu,” katanya menerusi kenyataan kepada The Malaysia Press (TMP), pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Ismail Hashim berkata, keupayaan untuk mengurus imej dan membina komunikasi yang telus amat penting dalam mengekalkan kepercayaan rakyat.

Sehubungan itu, beliau berharap agar implikasi politik pasca perletakan jawatan tidak menyemarakan penyebaran berita palsu dan propaganda digital boleh mempengaruhi pandangan rakyat terhadap sesuatu isu.

“Dalam konteks politik digital, PKR perlu memastikan bahawa komunikasi dengan rakyat berjalan dengan baik dan tidak membiarkan kekosongan kepimpinan menjadi bahan spekulasi yang boleh merosakkan imej parti.

“Penjelasan yang jelas dan telus tentang hala tuju kepimpinan baharu perlu dibuat secara konsisten agar PKR dapat mengekalkan sokongan dalam kalangan pengundi terutamanya para penyokong Rafizi dan Nik Nazmi,” katanya

Sementara itu, Ismail Hashim berkata, kepimpinan PKR perlu mengurus peralihan ini dengan langkah pragmatif bagi memastikan persaingan kuasa dalam parti tidak membawa kepada konflik yang melemahkan organisasi.

“Dengan strategi komunikasi yang telus dan berkesan, PKR boleh menggunakan politik digital sebagai alat untuk memperkukuh imej parti dan memastikan bahawa peralihan kepimpinan ini membawa kepada perkembangan positif dalam perjuangan mereka.

“Dalam dunia politik yang semakin kompleks dan dipengaruhi oleh media sosial, kebolehan mengawal persepsi dan memanfaatkan strategi digital akan menjadi faktor penentu dalam kejayaan parti pada masa hadapan,” katanya.

Jelasnya, politik digital telah mengubah cara rakyat memahami dan bertindak balas terhadap keputusan politik menjadikan strategi komunikasi digital sebagai elemen yang kritikal dalam memastikan kestabilan parti.

Dalam konteks terbabit, Ismail Hashim berkata, PKR ketika ini menghadapi cabaran besar untuk mengurus peralihan kepimpinan secara efektif sambil mengawal naratif negatif yang tersebar di media sosial.

“Naratif yang terbentuk dalam media sosial memainkan peranan penting dalam menentukan bagaimana sesuatu peristiwa politik difahami dan dinilai oleh masyarakat. Ia berkembang tidak hanya terbatas kepada fakta, tetapi sering kali dipengaruhi oleh sentimen, persepsi dan strategi komunikasi pihak-pihak berkepentingan.

“Dalam kes peletakan jawatan ini, terdapat pelbagai tafsiran yang muncul sesetengah pihak melihatnya sebagai tanda ketidaktentuan dalam PKR manakala yang lain menganggapnya sebagai strategi penyusunan semula kepimpinan bagi menghadapi cabaran baharu,” katanya.

Terdahulu Razifi yang juga Ahli Parlimen Pandan mengumumkan peletakan jawatannya daripada Menteri Ekonomi berkuat kuasa 17 Jun ini dan kini beliau sedang menghabiskan cuti tahunan sehingga 16 Jun.

Selain itu, seorang lagi anggota Kabinet, Nik Nazmi mengikut jejak langkah Rafizi yang mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkuat kuasa 4 Julai dan kini mula bercuti sehingga 3 Julai.

Tindakan Rafizi itu dibuat selepas beliau gagal mempertahankan jawatan Timbalan Presiden PKR dalam pemilihan parti sempena Kongres Nasional 2025 pada 24 Mei lalu.

Manakala Nik Nazmi yang juga Ahli Parlimen Setiawangsa pula berbuat demikian setelah tewas dan gagal mempertahankan jawatan Naib Presiden dalam pemilihan parti yang berlangsung di Johor Bharu, minggu lalu.

Related Posts

Semua pihak perlu junjung titah Agong perangi rasuah

TITAH Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, yang menekankan keperluan tindakan tegas dan menyeluruh dalam memerangi rasuah serta salah guna kuasa perlu dijadikan panduan utama oleh semua pihak, kata Menteri Komunikasi,…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Ahli Parlimen diingatkan jangan cetus ketegangan antara wilayah

YANG di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menitahkan Ahli Parlimen supaya tidak mengeluarkan kenyataan atau tindakan yang bersifat menghasut sehingga boleh mencetuskan ketegangan antara wilayah, sekali gus menjejaskan keharmonian dan perpaduan negara.…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Pihak berkuasa Thailand kenal pasti 3 suspek bom stesen minyak

Pihak berkuasa Thailand kenal pasti 3 suspek bom stesen minyak

Isu pindah tapak kuil Dewi Sri Pathrakaliamman selesai

Isu pindah tapak kuil Dewi Sri Pathrakaliamman selesai

Cemas ular tedung hitam ceroboh kediaman, APM bertindak pantas

Cemas ular tedung hitam ceroboh kediaman, APM bertindak pantas

Pemandu van Siam dihadapkan ke mahkamah kes langgar gadis hingga maut

Pemandu van Siam dihadapkan ke mahkamah kes langgar gadis hingga maut

Sarawak cadang AirBorneo jadi penerbangan rasmi Sukan SEA 2027

Sarawak cadang AirBorneo jadi penerbangan rasmi Sukan SEA 2027

Pindaan undang-undang bukti komitmen reformasi Kerajaan MADANI – Ahli Parlimen Miri

Pindaan undang-undang bukti komitmen reformasi Kerajaan MADANI – Ahli Parlimen Miri