PIHAK berkuasa tempatan (PBT) yang mencatat prestasi ‘lampu merah’ melalui sistem penilaian ‘lampu trafik’ akan dikenakan tindakan, termasuk ditarik peruntukan.
Amaran itu diberikan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming, susulan sistem penilaian ‘lampu trafik’ yang diguna pakai bagi menilai prestasi 156 pihak PBT di seluruh negara bermula awal bulan ini.
Beliau turut mengingatkan datuk bandar, yang dipertua dan setiausaha PBT bahawa tindakan akan dikenakan sekiranya mereka gagal mempamerkan prestasi baik berdasarkan sistem penilaian itu.
“Datuk bandar semua yang ada di sini dengar baik-baik… sekiranya gagal, nama dia saya akan serahkan kepada KPPA (Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam)… ada maksud tersurat dan tersirat.
“Mana-mana PBT dinilai ‘lampu merah’ peruntukan mereka akan ditarik, kuning pula peruntukan akan dikurangkan… tetapi jika hijau, peruntukan akan ditambah.
“Sekiranya mendapat ‘lampu merah’ YDP (yang dipertua) dan SU (setiausaha) akan dipanggil untuk kaunseling dan ada kursus pemantapan,” katanya selepas satu program di Serdang, Selangor, hari ini.





