
PUTRAJAYA – Deklarasi Kuala Lumpur (KL) yang menolak campur tangan asing mencerminkan komitmen Malaysia terhadap prinsip berkecuali ASEAN, namun tidak boleh bersikap pasif berikutan landskap geopolitik semasa.
Pemerhati hubungan antarabangsa dan politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Nur Ashikin Yusof berpandangan, keperluan buat Malaysia mempromosikan pendekatan ‘smart engagement’ dengan keterlibatan strategik bersama kuasa besar tanpa menjejaskan kedaulatan.
Menurutnya, kerajaan di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah berjaya memanfaatkan Deklarasi KL sebagai platform dalam menonjolkan Malaysia sebagai suara negara membangun yang progresif dalam ASEAN dan di pentas antarabangsa.
“Namun begitu, pemasaran diplomatik ini perlu diiringi dengan langkah pelaksanaan yang konkrit agar tidak kekal sebagai retorik semata-mata.
“Isu keselamatan serantau hari ini seperti pencerobohan maritim, pemerdagangan manusia dan jenayah rentas sempadan menuntut tindakan kolektif dan struktur pelaksanaan yang jelas serta holistik,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), pada Jumaat.

Pada Khamis, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, Deklarasi KL yang akan dilancarkan pada Sidang Kemuncak ASEAN minggu depan bakal menjadi rujukan utama hala tuju masa depan rantau ini, khususnya dalam aspek tadbir urus, transformasi digital dan kesiapsiagaan strategik.
Menurutnya, deklarasi berkenaan adalah hasil perbincangan menyeluruh yang membabitkan pemimpin politik, tokoh akademik dan pegawai kanan kerajaan, sekali gus mencerminkan komitmen ASEAN untuk bergerak daripada retorik kepada pelaksanaan tindakan lebih konkrit.
Beliau yang juga Menteri Kewangan menegaskan draf dokumen deklarasi itu dibincangkan dalam kalangan pemimpin ASEAN baru-baru ini dan menerima persetujuan untuk diteruskan ke peringkat pelaksanaan.
Mengulas lanjut, Nur Ashikin menyifatkan Malaysia mempunyai peluang untuk memimpin pembentukan norma serantau melalui inisiatif seperti ‘ASEAN Coordinated Security Response’ dan ‘ASEAN Normative Forum’.
Menurut beliau, dasar tersebut dilihat akan membantu membina identiti bersama dan meningkatkan ketahanan serantau terhadap ancaman semasa dan masa depan.
“Berbanding deklarasi-deklarasi terdahulu seperti Deklarasi Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN) 1971 yang gagal diterjemah dalam bentuk tindakan, kali ini Malaysia perlu mendesak agar wujud pelan tindakan ASEAN yang menyeluruh.
“Ia termasuk mekanisme penguatkuasaan dan pemantauan. Tanpa struktur sedemikian, deklarasi ini berisiko menjadi dokumen simbolik sahaja,”katanya.
Sementara itu, Pensyarah Fakulti Pengurusan & Perniagaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Johor, Wan Mohd Farid Wan Zakaria berpandangan Deklarasi KL perlu dilaksana bukan sekadar syarat atas kertas, sebaliknya perlu disusuli dengan tindakan holistik dan pragmatik.

Katanya, ASEAN memerlukan keberanian, bukannya bersifat simpati dan blok serantau itu akan terhakis secara tersembunyi oleh kepuraan-puraan koletif, jika sikap terbabit tidak dijadikan sebagai budaya.
“Malaysia selaku pengerusi tampil dengan tiga sasaran iaitu tadbir urus berintegriti, keterangkuman digital dan penyepaduan tenaga. Ini kedengaran besar namun (membimbangkan) ia sekadar (menjadi) edisi terkini dalam katalog retorik serantau. Dicetak semula, disalin semula dan disimpan semula.
“Di atas pentas semua kelihatan tersusun, namun di luar, tiada apa pun bergerak. Dunia hari ini tidak menilai janji, tidak membaca kertas kerja dan tidak peduli siapa pengerusi. Dunia hanya mahu satu perkara iaitu tindakan.
“ASEAN merupakan sebuah blok yang terlalu berhati-hati untuk gagal, namun juga terlalu takut untuk berjaya. Negara yang enggan berubah tidak harus diberi ruang menikmati faedah kolektif dalam membina semula kepercayaan, bukan untuk menghukum,” katanya.








