
KUALA PERLIS – Pembukaan Pusat Repositori Tuanku Tengku Fauziah (PRTTF) dijangka menjadi tarikan baharu pelancongan ilmu dan penyelidikan sekali gus merancakkan ekonomi setempat, khususnya dalam sektor perkhidmatan dan kebudayaan negeri Perlis.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, selain fungsi utamanya sebagai hab penyimpanan koleksi intelektual negara, pusat itu juga mempunyai nilai tarikan tersendiri dari sudut warisan dan ilmu.
“Reka bentuk bangunan ini yang unik serta pemilihan nama berunsurkan institusi diraja memberi nilai tambah dan menjadi simbol kebitaraan negeri Perlis.
“Pusat ini dijangka menarik minat pelawat, pelajar, penyelidik dan pencinta sejarah dari dalam serta luar negara untuk melihat sendiri bagaimana khazanah negara disimpan dan dipelihara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian dan Penamaan Bangunan Pusat Repositori Perpustakaan Negara Malaysia–Perlis, di sini hari ini.
Menurut Aaron, pembinaan pusat repositori itu adalah hasil kerjasama erat antara Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis (PPANPs) serta pihak kontraktor dengan kos keseluruhan berjumlah RM2.82 juta.
Bangunan dua tingkat seluas 6,802 kaki persegi itu dibina di atas tanah milik PPANPs di Kuala Perlis dan siap sepenuhnya pada 15 April lalu.
Ia bakal menjadi Pusat Penyimpanan Luar Koleksi Negara Zon Utara (PPLKN-U), mengurus bahan perpustakaan bawah Akta Penyerahan Bahan Perpustakaan 1986 (Akta 331) untuk manfaat negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak Utara.
Katanya, usaha ini bukan sahaja mengangkat Perlis sebagai pusat ilmu, malah membuka peluang ekonomi baharu melalui pelancongan akademik dan penyelidikan.
“Ini juga sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menjadikan ilmu dan budaya sebagai asas kemajuan,” ujarnya.
Tambah beliau, kementerian menjunjung kasih kepada Institusi Diraja Perlis atas limpah perkenan menamakan pusat itu sebagai penghargaan terhadap warisan ilmu dan jati diri negeri.







