
ISRAEL melakukan jenayah perang setiap hari di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat yang diduduki, kata bekas Perdana Menteri Ehud Olmert pada Rabu.
Dalam satu temu bual dengan penyiar awam Israel KAN, Olmert mengecam kenyataan yang dibuat oleh ahli-ahli kerajaan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu termasuk Menteri Kewangan Bezalel Smotrich yang menyeru agar kampung Palestin Huwara di utara Tebing Barat dibakar.
“Sesiapa yang menyeru untuk membakar kampung sebenarnya menyeru kepada genosid,” kata Olmert, lapor Anadolu.
Olmert turut menyatakan jenayah perang tidak hanya berlaku di Gaza. Ia berlaku setiap hari di Tebing Barat oleh warga Israel, tanpa sebarang campur tangan daripada polis atau tentera atau mereka hanya membutakan mata.
“Tindakan ketenteraan Israel di Gaza adalah satu perang politik tanpa tujuan yang tidak akan membawa pulang mana-mana tebusan dan hanya akan menyebabkan lebih ramai tentera Israel terkorban,” tambah Olmert.
Israel menganggarkan bahawa 58 tebusan masih ditahan di Gaza termasuk 20 yang dipercayai masih hidup. Sekitar 250 orang telah diculik semasa serangan Hamas pada 7 Oktober 2023.
Ramai yang telah dibebaskan dalam gencatan senjata selama seminggu pada November dan semasa fasa pertama gencatan selama 42 hari yang bermula pada Januari sebelum ditamatkan oleh Israel pada Mac.
Sementara itu, lebih daripada 10,100 rakyat Palestin masih dipenjarakan di Israel di mana mereka menghadapi penyeksaan, kelaparan, dan pengabaian perubatan, menurut laporan hak asasi manusia Palestin dan Israel.
Olmert turut mengkritik kerajaan Israel kerana gagal mengecam retorik ekstremis.
“Tiada siapa yang terkejut lagi apabila ketua Majlis Wilayah Samaria menyeru kepada genosid atau apabila menteri-menteri menjerit: ‘Jangan tinggalkan walau seorang kanak-kanak hidup di Gaza.’
“Saya menyalahkan kerajaan atas dasar ketenteraan mereka yang mengakibatkan ramai mangsa yang tidak bersalah,” kata Olmert.
Awal Rabu, Olmert memberitahu BBC bahawa ribuan rakyat Palestin yang tidak bersalah sedang dibunuh, dan menggambarkan tindakan Israel di Gaza sebagai hampir kepada jenayah perang.
Kenyataannya mencetuskan reaksi balas daripada Menteri Luar Negeri Israel Gideon Sa’ar yang mengkritik Olmert bersama ketua pembangkang Yair Golan dari Parti Demokratik.
Sa’ar memuat naik di X bahawa Yair Golan, Ehud Olmert, dan yang lain secara aktif mengambil bahagian dalam kempen politik, naratif, dan pertempuran undang-undang terhadap negara Israel dan tenteranya.
Pada Selasa, Golan mengutuk tindakan Israel di Gaza kerana berperang dengan orang awam, membunuh kanak-kanak sewenang-wenangnya serta mengamalkan dasar pengusiran seperti sebuah negara yang tidak waras.
Beliau memberi amaran dalam satu temu bual dengan KAN bahawa Israel berisiko menjadi ‘negara pariah’ jika terus bertindak seperti sebuah negara yang tidak waras.
Negara pariah ialah negara yang disisihkan oleh masyarakat antarabangsa kerana melanggar undang-undang dan norma global, seperti jenayah perang atau penindasan rakyat.
Sekurang-kurangnya 969 rakyat Palestin telah terbunuh dan lebih 7,000 cedera dalam serangan oleh tentera Israel dan pendatang haram di Tebing Barat sejak bermulanya perang di Gaza pada Oktober 2023, menurut Kementerian Kesihatan Palestin.
Di Gaza, Israel telah membunuh lebih daripada 53,000 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, sejak Oktober 2023.






