
PAPAR – Timbalan Setiausaha Agung Gagasan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali menyuarakan pandangan agar setiap tindakan dalam Kerajaan Perpaduan diambil dengan penuh pertimbangan, khususnya melibatkan komunikasi rasmi antara parti.
Mengulas mengenai penggunaan kepala surat Sekretariat Kerajaan Perpaduan dalam pengumuman kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) untuk Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah, beliau berpandangan ia seharusnya lebih sesuai jika hanya melibatkan nama gabungan yang terlibat secara langsung.
“Penggunaan kepala surat itu dilihat kurang tepat kerana Kerajaan Perpaduan ini dianggotai oleh pelbagai parti termasuk GRS dan Warisan, bukan hanya PH dan BN.
“Saya serahkan kepada kebijaksanaan semua untuk menilai kewajaran tindakan itu,” katanya ketika berucap pada program Malam Citra Tradisi di sini, pada Jumaat.
Beliau turut berharap agar amalan saling menghormati sesama parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan terus dipelihara demi kestabilan politik yang inklusif dan harmoni.
“Mungkin bagi sesetengah pihak GRS dianggap gabungan kecil, tapi kami percaya bahawa kekuatan bukan pada saiz, tetapi pada muatan dan kesatuan yang dibawa,” ujarnya.
Beliau juga menyarankan agar perkara sedemikian diselaraskan dengan baik pada masa akan datang oleh Setiausaha Agung Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fadillah Yusof, agar tidak menimbulkan kekeliruan atau salah faham dalam kalangan rakan komponen.
“Saya percaya, jika kita terus jujur dan menghormati antara satu sama lain, kerjasama ini akan terus memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.
Pada 9 Mei lalu, Setiausaha Agung UMNO merangkap Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan, Datuk Wira Dr Asyraf Wajdi Dusuki bersama Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, mengumumkan kerjasama strategik BN dan PH di Sabah menggunakan kepala surat Sekretariat Kerajaan Perpaduan yang memaparkan semua logo parti gabungan.





