
PRESIDEN Rusia, Vladimir Putin, telah menjemput Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim untuk mengadakan lawatan rasmi ke negaranya.
“Saya ada satu permintaan besar. Sampaikan salam hormat saya kepada ketua negara, Sultan Ibrahim,” kata Putin kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Rabu, lapor Agensi Berita Rusia (TASS).
Jemputan itu dilihat sebagai tanda penghormatan Moscow terhadap kepimpinan Seri Paduka serta keterbukaan Rusia untuk mengukuhkan kerjasama dalam pelbagai bidang bersama Malaysia.
Terdahulu, Sultan Ibrahim mencatat sejarah apabila menjadi Raja Malaysia pertama dalam tempoh sedekad yang melakukan lawatan rasmi ke China atas jemputan Presiden Xi Jinping. Lawatan itu berlangsung dari 19 hingga 22 September 2024.
Kunjungan bersejarah itu bersempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China dan menjadi simbol penting kepada komitmen berterusan negara dalam memperkukuh kerjasama antarabangsa.






