
TAWAU – Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) memberi sokongan penuh terhadap kepimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk bertanding secara solo pada Pilihan Raya Negeri Sabah (PRN17) Sabah akan datang.
Setiausaha Agung Harapan Rakyat, Christy Chok Lee Lui berkata, keputusan GRS itu adalah aspirasi kehendak rakyat Sabah bagi memastikan serta menentukan hala tuju dan pembangunan negeri ini.
“Semenangnya Negeri Sabah harus kekal dipimpin oleh parti-parti tempatan.
“Jika ada sebarang pihak yang tidak bersetuju atau tidak sehaluan atau tidak menghormati keputusan aspirasi rakyat Sabah ini, maka itu keputusan mereka dan kami perlu terus bergerak maju ke hadapan,” katanya dalam kenyataan media, pada Sabtu.
Menurut Christy, GRS menerusi kepimpinan Hajiji banyak membuktikan pembangunan dan kemajuan ekonomi negeri Sabah diputuskan di peringkat negeri tanpa menunggu ‘green light’ pihak luar.
“Inilah impian rakyat Sabah dan kita mampu berdikari dengan usaha negeri sendiri.
“Bagi Parti Harapan Rakyat Sabah, keputusan parti-parti lain untuk bekerjasama dalam PRN Sabah adalah keputusan dan hak mutlak parti berkenaan.
“Jika ada parti yang berminat bekerjasama dengan GRS, yang mempunyai hala tuju sama, kami cukup mengalu-alukan,” tambahnya.




