Sistem parkir pintar: Jangan hanya bangga dengan slogan – Fathul Bari

KANGAR – Ketua Bahagian UMNO Kangar, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya menggesa Kerajaan Negeri Perlis supaya tidak terus berselindung di sebalik slogan ‘Bandar Pintar’ dan ‘cashless’ sedangkan pelaksanaan sistem parkir pintar di pusat bandar ini menimbulkan kekeliruan serta tekanan dalam kalangan rakyat.

Menurutnya, tularnya rakaman CCTV memaparkan sebuah kenderaan merempuh mesin parkir pintar baru-baru ini tidak sepatutnya dianggap sekadar jenayah vandalisme, sebaliknya menjadi peringatan kepada Kerajaan Negeri agar lebih serius meneliti kelemahan pelaksanaan dasar.

Katanya, jika tindakan tersebut dilakukan secara sengaja, ia adalah perbuatan tidak bermoral dan mencerminkan kegagalan mengurus perbezaan pandangan secara beradab.

“Vandalisme bukanlah saluran untuk menyuarakan ketidakpuasan hati, sebaliknya mencerminkan kegagalan mengurus perbezaan pandangan secara beradab,” katanya dalam satu kenyataan di laman sosial Facebook.

Namun beliau mengingatkan Kerajaan Negeri supaya tidak hanya pantas menghukum rakyat tanpa mengakui kelemahan sendiri yang berpunca daripada pelaksanaan tergesa-gesa dan komunikasi yang lemah.

“Ia bukan sekadar isu sistem parkir. Ia menyentuh soal kepercayaan rakyat terhadap keupayaan Kerajaan Negeri mengurus dan mentadbir,” katanya.

Menurut beliau, rakyat bukannya menolak kemajuan, tetapi menolak pelaksanaan yang bercelaru serta pendekatan yang meminggirkan suara awam.

Jelasnya, Kerajaan Negeri wajar bertindak secara profesional dengan menerbitkan dokumen soal jawab (FAQ) rasmi, menghasilkan video penjelasan padat dan telus serta membuka ruang dialog bersama peniaga, penjaja dan pengguna.

“Jangan biarkan rakyat terus tertanya-tanya seolah-olah mereka sedang diuji dalam sistem yang tidak pernah mereka fahami.

“Elakkan hanya menghasilkan video promosi yang gagal menjawab isu sebenar,” katanya lagi.

Beliau juga menyatakan bahawa sekiranya Kerajaan Negeri memiliki keberanian politik, mereka seharusnya terbuka untuk mendengar pandangan rakyat.

“Sekurang-kurangnya tampil dengan penjelasan bertulis yang jujur dan terbuka,” katanya.

Tambah beliau, inisiatif ‘Perlis Go Digital’ telah bermula sejak pentadbiran Barisan Nasional melalui Pelan Digital Perlis 2021–2025, namun dasar yang baik sekalipun akan dibenci sekiranya dilaksanakan tanpa perancangan rapi dan komunikasi menyeluruh.

“Pelaksanaan sesuatu sistem tidak seharusnya dilihat hanya sebagai mekanisme menambah hasil kepada kerajaan; tetapi mestilah disertai dengan pulangan yang jelas kepada kesejahteraan rakyat,” katanya.

Menurutnya lagi, kita memerlukan kerajaan yang mendengar, bukan hanya melaksana, serta kepimpinan yang sanggup menjawab dan menjelaskan, bukan sekadar memberi arahan.

Dalam masa sama, beliau menyeru rakyat agar terus bersuara secara beradab dan tidak mengambil tindakan yang mencemarkan nilai undang-undang.

“Kita benci sistem yang menekan, tetapi lebih benci lagi perbuatan yang mencemarkan nilai adab dan undang-undang,” katanya.

Ujarnya, Perlis hanya akan benar-benar maju jika segala dasar dilaksanakan bersama rakyat, bukan dengan meminggirkan mereka.

Related Posts

Rumah ibadat: Cari penyelesaian, bukan bakar sentimen – Pengerusi PH Perlis

ISU perobohan sebuah kuil di Bukit Lagi, Kangar  perlu diurus dengan berhemah dan bertanggungjawab tanpa mengabaikan prinsip undang-undang, kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Perlis, Noor Amin Ahmad. Beliau menyeru semua…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Jangan bakar sentimen agama isu kuil, buruk akibatnya – Mufti Perlis

KANGAR – Mufti Perlis mengingatkan mana-mana Ahli Parlimen supaya tidak membakar sentimen perkauman atau ketegangan agama berhubung isu perobohan sebuah kuil di Bukit Lagi di sini. Datuk Dr Mohd Asri…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Jangan padam hakikat kedudukan Islam dalam Perlembagaan dengan slogan politik

Jangan padam hakikat kedudukan Islam dalam Perlembagaan dengan slogan politik

Rumah ibadat: Cari penyelesaian, bukan bakar sentimen – Pengerusi PH Perlis

Rumah ibadat: Cari penyelesaian, bukan bakar sentimen – Pengerusi PH Perlis

Jangan bakar sentimen agama isu kuil, buruk akibatnya – Mufti Perlis

Jangan bakar sentimen agama isu kuil, buruk akibatnya – Mufti Perlis

Wanita ditahan, tangki tambahan berisi 130 liter petrol ditemukan

Wanita ditahan, tangki tambahan berisi 130 liter petrol ditemukan

Roboh kuil bukan penyelesaian, kerajaan Perlis patut pilih jalan berhemah – Rayer

Roboh kuil bukan penyelesaian, kerajaan Perlis patut pilih jalan berhemah – Rayer

Kerjasama Pas-UMNO hanya untuk jatuhkan Anwar, guna alasan penyatuan Melayu – Ahmad Shahir

Kerjasama Pas-UMNO hanya untuk jatuhkan Anwar, guna alasan penyatuan Melayu – Ahmad Shahir