
SANDAKAN – Sebuah syarikat pembungkus minyak masak bersubsidi dalam peket satu kilogram (kg) di sini dikesan melanggar arahan edaran yang ditetapkan Pengawal Bekalan Malaysia apabila menyeleweng pengagihan barang kawalan tersebut.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Cawangan Sandakan, Azdy Zukkry John berkata, kesalahan itu dikesan hasil audit yang dijalankan ke atas premis syarikat pembungkusan semula dan pemegang lesen runcit barang kawalan di daerah ini pada 25 April lalu.
“Hasil semakan silang mendapati syarikat terbabit hanya mengedar 21 tan metrik minyak masak bersubsidi daripada 34 tan metrik yang diperuntukkan.
“Pemeriksaan susulan pula mendapati baki 13 tan metrik lagi telah diedarkan ke lokasi lain tanpa kelulusan Pengawal Bekalan,” katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.
Menurut beliau, pengedaran minyak masak bersubsidi sepatutnya hanya dibuat ke premis yang disenaraikan dalam surat arahan edaran, selaras dengan lokasi penghantaran yang ditetapkan oleh KPDN.
“Susulan itu, tindakan kes telah diambil di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) ke atas syarikat berkenaan.
“Beberapa dokumen termasuk invois, resit jualan, buku stok dan lesen barang kawalan (CSA) turut disita untuk siasatan lanjut,” katanya.
Jelas Azdy, arahan penetapan lokasi edaran bagi minyak masak bersubsidi mula dikuatkuasakan pada Ogos 2024 sebagai langkah membanteras ketirisan dan penyelewengan barang kawalan tersebut.
“Sebelum ini, syarikat pembungkus bebas menghantar minyak masak kepada mana-mana pelanggan mereka.
“Tetapi kini, setiap penghantaran mesti mematuhi lokasi yang telah ditetapkan,” katanya.
Beliau turut mengingatkan semua pihak dalam rantaian pengedaran minyak masak bersubsidi agar mematuhi peraturan sedia ada dan memastikan subsidi sampai kepada golongan sasaran.
“Di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, individu yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
“Bagi kesalahan berulang, hukuman boleh meningkat kepada denda RM3 juta atau penjara hingga lima tahun.
“Sementara itu, syarikat boleh didenda sehingga RM2 juta dan bagi kesalahan berulang, sehingga RM5 juta,” jelasnya.
KPDN turut menyeru orang ramai menyalurkan sebarang maklumat berkaitan salah laku pengedaran subsidi menerusi saluran rasmi seperti WhatsApp 019-848 8000, portal e-aduan http://eaduan.kpdn.gov.my, talian 1-800-886-800, e-mel eaduan@kpdn.gov.my, aplikasi Ez ADU KPDN atau terus ke pejabat KPDN berhampiran.

