
SIAPA kata Perikatan Nasional (PN) kalah dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning? Anda silap!
PN yang mempertaruhkan kewibawaan Yang Dipertua Pas kawasan Tapah, Abd Muhaimin Malek sebenarnya tidak kalah.
Dalam dunia politik Malaysia, logik siapa menang siapa kalah bukan lagi tentang dapat kerusi atau tidak, ia tentang siapa boleh ‘declare’ diri sebagai pemenang walau dalam kekalahan.
PRK Ayer Kuning jadi bukti baru, PN yang tewas teruk kepada Barisan Nasional (BN) tapi tetap ada sebab nak senyum lebar, sebab mereka tak berada di tempat terakhir.
Syabas, PN! Anda tidak menang pilihan raya, tapi anda berjaya menang daripada kalah kepada Parti Sosialis Malaysia (PSM). Ini ‘kemenangan’ dalam dunia bayangan sendiri.
Berdasarkan undi, 6,059 untuk PN berbanding 1,106 untuk PSM memang jauh berbeza.
Namun hakikatnya, ia umpama menang perlumbaan antara kereta Ferrari rosak dengan basikal tua yang akhirnya kedua-duanya tidak sampai ke podium, tetapi masih nak berbangga sebab basikal lebih lambat.
Dalam realiti politik sebenar, PN sedang terjunam dari saingan sebenar. Mereka bukan lagi pembangkang yang kuat, sekadar jadi watak tambahan untuk hiasan kertas undi.
Tapi seperti biasa, di Malaysia, politik bukan tentang fakta, ia tentang persepsi. Dan persepsi boleh diolah.
Gagal ambil kerusi? Tak apa, spin cerita. Kalah, tapi tak seteruk orang lain. Tak menang, tapi bukan paling malang.
Di pentas PRK Ayer Kuning, PN belajar satu seni penting: ‘Kalah dengan gaya’.
Lebih kelakar, kemenangan PN atas PSM diangkat seolah-olah ia bukti kekuatan akar umbi.
Padahal, di mata pengundi, PN dan PSM sama-sama tak cukup kuat nak tumbangkan BN.

Bezanya, PSM yang diwakili Bawani KS memang tahu mereka bertanding untuk suara rakyat, bukan untuk menipu diri sendiri.
PN pula? Sibuk membina naratif seolah-olah tempat kedua itu semacam dapat piala.
Hakikat tetap hakikat, dalam PRK ini, rakyat sudah buat keputusan. BN kekal mempertahankan kerusi dan Dr Ustaz Yusri Bakir dipilih menjadi wakil rakyat Ayer Kuning.
PN hanya boleh berbangga dapat habuan saguhati, lebih banyak undi daripada parti kecil yang memang dari awal tak memburu kemenangan.
Kalau kalah pun boleh dijual sebagai menang, maka tak hairanlah politik kita makin hari makin kelakar.
Yang gagal pun mahu diraikan, asal ada modal untuk sembang di pentas ceramah.






