
TAWAU – Tagal Kampung Kijang berjaya merekodkan kehadiran kira-kira 13,000 pengunjung sepanjang tempoh empat bulan pertama tahun ini sekali gus meningkatkan ekonomi penduduk setempat.
Demikian dinyatakan Pegawai Wilayah Perikanan Tawau, Mohd Rizal Socradji yang menjadikan aktiviti tagal yang terletak di kawasan terpencil itu terbaik di daerah ini.
“Berdasarkan rekod Tagal Kampung Kijang menerima kehadiran pengunjung daripada beberapa daerah luar termasuk Kota Kinabalu.
“Empat lokasi tagal lain terletak di Balung, Kg Ranggu, Kg Sungai Imam dan Kuala Nangsa.
“Kita juga mengenal pasti dua lagi lokasi lain yang berpotensi dibuka untuk aktiviti tagal iaitu di Bukit Quoin dan Rancangan Blok 31,” katanya kepada media selepas penyerahan sumbangan peralatan Jabatan Perikanan Negeri Sabah kepada Jawatankuasa Tagal Kg Kijang, pada Sabtu.

Penyerahan peralatan seperti jaket keselamatan, pelampung, lampu solar dan tong sampah untuk kegunaan operasi tagal itu disempurnakan Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) yang juga Naib Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah, Tan Sri Liew Yun Fah.
Liew yang memuji usaha Jawatankuasa Tagal Kg Kijang itu turut menyumbang RM3,000 kepada tabung jawatankuasa sebagai sokongan kepada aktiviti berkenaan selain merancang pemasangan lampu solar di sepanjang laluan masuk ke kawasan tagal.
“Usaha yang diambil Jawatankuasa Tagal Kg Kijang perlu dicontohi dan menjadi ikutan dalam usaha merancakkan ekonomi serta pembangunan di Merotai.
“Ia selari dengan hasrat dan hala tuju kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor iaitu ‘Sabah First’ yang mengutamakan keperluan rakyat,” ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Tagal Kg Kijang, Abdul Mustapha Massa menzahirkan terima kasih atas sokongan penuh pelbagai pihak yang membantu operasi Tagal.
“Sebahagian hasil pendapatan operasi akan disalurkan untuk kerja baik pulih serta naik taraf fasiliti di sini manakala sebahagian lagi dikembalikan kepada masyarakat untuk kerja kebajikan seperti khairat kematian dan bantuan pendidikan,” katanya.







