
KESILAPAN ilustrasi muka depan oleh Sin Chew Daily bukanlah satu kesilapan yang remeh dan menegaskan bahawa bendera negara adalah simbol penting bagi mana-mana negara, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar menggesa semua pihak supaya berhati-hati apabila memaparkan bendera negara itu.
“Untuk mana-mana negara pun, soal bendera itu simbol yang sangat penting.
“Jadi saya nasihatkan supaya kita berhati-hati, tapi tentulah bagi ruang Sin Chew Daily bagi penjelasan atas kesilapan dan memohon maaf.
“Tetapi ini bukan soal ringan, biarlah proses undang-undang (dijalankan),” katanya.
Beliau berkata pada sidang media hari ini selepas mengakhiri lawatan kerja beliau ke sini atas jemputan rakan sejawatannya dari Thailand, Paetongtarn Shinawatra.
Anwar mengulas mengenai insiden paparan Jalur Gemilang tanpa bulan sabit di muka hadapan akhbar berbahasa Cina tempatan, Sin Chew Daily, Selasa lalu.
Dalam pada itu, beliau juga meminta semua pihak tidak memberi pandangan yang berlebihan dalam isu berkenaan.
“Saya juga beritahu supaya jangan nampak kita nak berlebih-lebihan hanya semata-mata kerana tuntutan, dia kena ikut proses undang-undang,” katanya.
Media melaporkan, akhbar berbahasa Cina itu memohon maaf atas kesalahan berkenaan sambil menjelaskan bulan sabit tidak kelihatan dalam ilustrasi terbabit disebabkan kesilapan teknikal yang tidak disengajakan.
Pada Khamis, Sin Chew Daily melalui kenyataan memaklumkan, dua pengarang kanannya iaitu Ketua Pengarang, Chan Aun Kuang dan Timbalan Ketua Penyunting, Tsai Shwu San digantung tugas berkuat kuasa serta-merta susulan isu itu.





