
MENTERI Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menyelesaikan siasatan terhadap hantaran kontroversi melibatkan Jalur Gemilang di akaun Facebook kontroversi oleh Kwong Wah Yit Poh dan akhbar Sin Chew Daily.
Fahmi berkata, kertas siasatan telah dihantar kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan seterusnya.
Beliau yang juga merupakan Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, bagi kes melibatkan cetakan akhbar pula, ia kini dalam siasatan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Ada tiga aspek siasatan. Pertama, siasatan di bawah KDN mengikut Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
“Kedua, siasatan oleh PDRM di bawah beberapa peruntukan termasuk Kanun Keseksaan dan Akta Kawalan Mempamer Lambang Kebangsaan.
“MCMC pula menjalankan siasatan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Bagaimanapun, saya tidak mempunyai maklumat lanjut berkenaan status dua siasatan yang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Eid Synergy anjuran Persatuan Seni, Acara Langsung, Konsert dan Festival Malaysia (ALIFE) di Petaling Jaya pada Jumaat.
Terdahulu, pada Selasa, akhbar berbahasa Cina itu menyiarkan ilustrasi Jalur Gemilang di muka hadapannya sempena liputan lawatan negara Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia tetapi gambar bendera itu tidak lengkap.
Insiden menimbulkan kritikan daripada pelbagai pihak termasuk Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang menzahirkan rasa kesal dan menegaskan pihak pengurusan serta jabatan pengarang akhbar terbabit seharusnya lebih peka dan menyemak kandungan terlebih dahulu sebelum dicetak untuk siaran.
Susulan itu, Sin Chew Daily bagaimanapun telah membuat permohonan maaf termasuk mengambil tindakan menggantung kakitangannya yang terlibat dalam kesalahan berkenaan.
Pada Rabu, MCMC juga telah meminta pihak media Kwong Wah Yit Poh untuk memberikan penjelasan berhubung satu hantaran di akaun Facebook rasmi mereka yang memaparkan Jalur Gemilang dalam keadaan tidak lengkap.
Pada masa sama, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan pihaknya telah merakam keterangan Ketua Pengarang dan Timbalan Ketua Penyunting Sin Chew Daily selama tiga jam di Pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan dibebaskan pada Khamis malam.






