
TAPAH – Syarikat telekomunikasi (telco) diberi tempoh untuk mengemukakan pelan penyelesaian bagi isu capaian internet lemah atau tidak mematuhi standard Mandatori Kualiti Perkhidmatan (MSQoS) sehingga jam 5 petang ini.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, syarikat telekomunikasi juga berdepan tindakan penguatkuasaan dengan kompaun bernilai jutaan ringgit boleh dikenakan jika organisasi berkenaan gagal berbuat demikian.
Menurutnya, pemerhatian dilaksanakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) pada 5 Mac lalu mendapati syarikat telco begitu perlahan dalam menyelesaikan isu pencapaian internet secara holistik.
“Saya lihat syarikat telekomunikasi perlu lebih cergas selesaikan masalah. Bila bab kutip tunggakan bil, bukan main cepat. Kalau kita lewat sehari dua, terus dia (syarikat telekomunikasi) tutup talian, tetapi apabila kita (pengguna) mengadu pada dia, berbulan-bulan (untuk selesaikan masalah).
“I had enough (tiada lagi kompromi) dan saya minta sekiranya mereka tak dapat mengemukakan penyelesaian cergas dan tuntas menjelang jam 5 petang ini, esok Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) akan ambil tindakan penguatkuasaan ke atas syarikat telco.
“Takkanlah Menteri sendiri yang nak kena uruskan, syarikat telco seharusnya lebih pantas dan lebih cergas. Kita boleh kenakan kompaun. Kalau gagal boleh sampai beratus juta ringgit dengan kuasa yang ada. Sekarang syarikat telco perlu berwaspada dan mereka perlu lebih cergas menyelesaikan masalah para pengguna,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Hari Bersama Komuniti (HBK) NADI Ayer Kuning di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Ayer Kuning, pada Ahad.

Mengulas lanjut, Fahmi memaklumkan, MSQoS menetapkan kelajuan minimum internet pada tahap 7.5 megabit sesaat (Mbps) yang akan meningkat kepada 10Mbps dalam tempoh setahun.
Jelasnya, tindakan bagi menyelesaikan masalah capaian internet bukan hanya berfokus kepada Ayer Kuning, namun dilakukan secara holistik di seluruh negara agar rakyat dapat menikmati kemudahan teknologi dengan sebaiknya.
“Saya juga telah mengumumkan sebelum ini dasar di mana ada jalan di situ ada internet, saya telah melihat, bukan hanya di Ayer Kuning tapi di banyak tempat, masalah yang kita hadapi mungkin di kawasan berpenduduk ada internet, tapi jalan-jalan utama tidak ada internet dan saya sendiri beberapa hari yang lalu sebelum penamaan calon telah melawat beberapa lokasi dan dapati laluan utama di sekitar Bidor di sekitar Parlimen Tapah, ada yang tidak ada capaian internet memuaskan.
“Bukan untuk Ayer Kuning sahaja, beberapa hari yang lalu saya mengeluarkan amaran tegas juga kepada syarikat-syarikat telco mengenai capaian liputan internet di Belaga, di Ulu Rajang, di Sarawak dan banyak tempat baru-baru ini ada Bandar Baru Serenia yang juga hadapi masalah. Datuk Seri Zamri Abdul Kadir mengeluh tentang masalah internet juga di Pulau Pangkor,” katanya.






