Tarif asas baharu AS beri peluang produk ‘Made In Malaysia’ dikenali persada dunia

PUTRAJAYA – Kenaikan tarif asas sebanyak 24 peratus oleh Amerika Syarikat (AS) terhadap Malaysia dilihat membuka ruang bagi pertumbuhan ekonomi domestik secara holistik, walaupun perubahan duti itu merupakan ancaman kepada perdagangan negara.

Pemerhati hubungan antarabangsa dan politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Nur Ashikin Yusof berkata, ia bukan sahaja memperkukuh rantaian bekalan tempatan, namun mengurangkan kebergantungan kepada bahan mentah luar negara, sekaligus meningkatkan daya tahan ekonomi terhadap krisis global.

Menurutnya, kenaikan kos import dari Amerika Syarikat boleh memberi kelebihan kepada industri tempatan, yang kini mempunyai peluang untuk memenuhi permintaan dalam negara tanpa persaingan ketat dari produk negara kuasa besar terbabit.

“Tarif asas itu memaksa Malaysia untuk mencari pasaran baharu, sekali gus mengurangkan dominasi Amerika Syarikat dalam perdagangan antarabangsa kita. Negara-negara seperti China, Kesatuan Eropah, dan negara-negara Asia Barat menawarkan peluang untuk mempelbagaikan eksport Malaysia.

“Strategi itu dapat meningkatkan daya saing dan memastikan kestabilan ekonomi negara dalam jangka panjang selain, syarikat-syarikat tempatan akan terdorong untuk meningkatkan kualiti dan inovasi bagi bersaing di pasaran global yang menjadikan Malaysia sebagai hab pengeluaran berkualiti tinggi,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), pada Khamis.

Pada peringkat serantau, Nur Ashikin menegaskan, tekanan ekonomi akibat perubahan kadar cukai terbabit dilihat mampu menjadi pemangkin kepada kerjasama yang lebih erat dalam ASEAN demi mencari pendekatan pragmatik dalam memperkasa ekonomi organisasi seratau itu.

Katanya, dengan cabaran yang sama dihadapi oleh negara jiran, ASEAN perlu mempercepatkan integrasi ekonomi serantau, selain melaksana rundingan perjanjian perdagangan bebas lebih kukuh dalam memperkasa kedudukan rantau itu sebagai kuasa ekonomi yang lebih berdikari.

“Malaysia secara dasarnya bukan sahaja mempunyai kekuatan dalam menangkis kesan negatif tarif oleh Amerika Syarikat, namun mempunyai kemampuan muncul sebagai ekonomi yang lebih kukuh dan berdaya saing dalam jangka panjang. Jangan hanya bertindak reaktif tapi perlu bersikap proaktif dalam menyesuaikan diri dengan persekitaran perdagangan global yang sentiasa berubah.

“Dengan strategi tepat, diversifikasi pasaran, peningkatan daya saing industri tempatan, pengukuhan diplomasi ekonomi, serta pendekatan lebih fleksibel dalam menangani ketidaktentuan dasar global, Malaysia bukan sahaja dapat mengatasi kesan negatif tarif itu namun muncul sebagai ekonomi lebih kukuh dan berdaya saing dalam jangka masa panjang,” katanya.

Dalam pada itu, Nur Ashikin berpandangan, terdapat keperluan buat Malaysia melakukan rundingan bersama Amerika Syarikat bagi mendapatkan pengecualian tarif untuk sektor-sektor tertentu yang penting kepada ekonomi negara.

Pada masa sama, katanya, Malaysia perlu memanfaatkan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) selain meneroka kerjasama baru dalam ASEAN bagi memastikan akses kepada pasaran luar sentiasa kekal terbuka.

“Diplomasi ekonomi perlu dimainkan dengan lebih agresif. Malaysia perlu mempertimbangkan bagaimana tarif itu boleh mengganggu rantaian nilai global, khususnya dalam sektor elektronik, minyak sawit, dan pembuatan. Sebagai negara yang menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan global, Malaysia perlu memastikan sektor itu tidak terjejas secara drastik.

“Ini memerlukan pelaburan dalam sektor bernilai tinggi serta strategi jangka panjang untuk mengukuhkan daya saing industri tempatan. Malaysia perlu memahami secara mendalam implikasi polisi itu dan mengambil langkah strategik untuk menghadapinya,” katanya.

Sementara itu, Nur Ashikin berpandangan, peningkatan levi itu bukan sekadar ujian kepada daya tahan ekonomi Malaysia, tetapi juga peluang untuk menilai semula strategi perdagangan negara selain membuka peluang untuk  tidak hanya bergantung kepada satu atau dua kuasa ekonomi utama.

“Isu yang lebih mendalam perlu dipertimbangkan ialah kebergantungan kepada China sebagai alternatif kepada Amerika Syarikat. Walaupun China menawarkan potensi pasaran besar, kebergantungan terlalu tinggi kepada satu kuasa ekonomi juga membawa risiko tersendiri.

“Malaysia perlu berhati-hati agar tidak menggantikan satu dominasi perdagangan dengan yang lain, tetapi sebaliknya memastikan keseimbangan dalam hubungan perdagangan global. Keupayaan Malaysia untuk menyesuaikan diri dan memanfaatkan peluang daripada perubahan global akan menjadi kunci kepada kejayaan ekonomi dan kestabilan hubungan antarabangsa negara,” katanya.

Related Posts

10 aktivis Malaysia sedia teruskan misi GSF 2.0 ke Gaza kali kedua

SEPANG – Sepuluh rakyat Malaysia yang terbabit dalam misi Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 dijangka memulakan semula pelayaran ke Gaza pada bila-bila masa selepas kekal berada di Istanbul, Turkiye. Ketua…

Lebih lanjut

teruskan membaca
PMX sumbang RM100,000 bantu ASWO sertai World Music Contest 2026 di Belanda

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim menyalurkan sumbangan RM100,000 kepada pasukan Alam Shah Wind Orchestra (ASWO) sebagai sokongan bagi persediaan mereka menyertai World Music Contest 2026 di Kerkrade, Belanda…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

10 aktivis Malaysia sedia teruskan misi GSF 2.0 ke Gaza kali kedua

10 aktivis Malaysia sedia teruskan misi GSF 2.0 ke Gaza kali kedua

PMX sumbang RM100,000 bantu ASWO sertai World Music Contest 2026 di Belanda

PMX sumbang RM100,000 bantu ASWO sertai World Music Contest 2026 di Belanda

Kementerian Ekonomi selaras segera kerja naik taraf Pulau Tioman

Kementerian Ekonomi selaras segera kerja naik taraf Pulau Tioman

Pembenihan awan dipercepat di Kedah, Perlis tangani cuaca kritikal

Pembenihan awan dipercepat di Kedah, Perlis tangani cuaca kritikal

Sentuhan Bibiq jadi legasi, 3 sepupu kekalkan citarasa masakan payau

Sentuhan Bibiq jadi legasi, 3 sepupu kekalkan citarasa masakan payau

Projek Sistem Air Akut Rantau Panjang capai tahap 33 peratus siap

Projek Sistem Air Akut Rantau Panjang capai tahap 33 peratus siap