PUTRAJAYA – Seramai 14,000 penjawat awam Terengganu menerima Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri (BKKA) yang akan disalurkan sebelum hari raya.
Kementerian Kewangan (MoF) menerusi kenyataan memaklumkan, keputusan itu adalah lanjutan lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Terengganu, minggu lalu.
“Kerajaan bersetuju membiayai BKKA bagi penjawat awam Kerajaan Negeri Terengganu,” kata kenyataan itu.
Menurut MoF, kerajaan kekal komited dengan prinsip kesaksamaan dan pendekatan manusiawi agar kemakmuran negara dirasai secara bersama, sejajar dengan wawasan Menaikkan Lantai dalam kerangka Ekonomi Madani.
“Semoga sumbangan ini membawa sedikit kegembiraan kepada mereka yang berkhidmat dengan penuh dedikasi,” jelasnya.
Jumaat lalu, Anwar mengumumkan pemberian BKKA RM500 kepada penjawat awam gred 56 ke bawah.
Bantuan khas sebanyak RM250 turut dibayar kepada pesara yang merangkumi pesara berpencen, penerima pencen terbitan, pesara KWSP, veteran berpencen serta veteran tidak berpencen.
Bayaran BKKA turut dipanjangkan kepada 70,000 guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), guru takmir, imam, bilal, tok siak, noja serta marbut bagi menghargai sumbangan besar mereka.





