
TUARAN – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor memuji dan berbangga dengan pencapaian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berjaya membawa dan meletakkan kembali kedudukan Malaysia di persada dunia.
Hajiji berkata, semenjak menerajui kepimpinan negara, Anwar telah berjaya meletakkan kembali kedudukan Malaysia di persada dunia.
“Anwar yang sering diundang ke pelbagai majlis forum antarabangsa untuk menyampaikan pandangan negara kita bersabit isu-isu yang berkaitan kepentingan komuniti antarabangsa.
“Ini adalah satu pencapaian yang amat membanggakan.
“Selain itu, pertumbuhan ekonomi negara juga amat menggalakkan, para pelabur asing berduyun-duyun datang untuk membawa pelaburan yang bernilai ratusan bilion ringgit.
“Semua ini adalah indikator yang menunjukkan bahawa pertumbuhan ekonomi Malaysia berada pada landasan yang tepat di bawah kepimpinan Anwar,” katanya semasa ucapan Majlis Berbuka Puasa MADANI Peringkat Negeri Tahun 2025 di Padang Istiadat, di sini pada Sabtu.

Tambahnya, perkembangan yang amat menggalakkan ini diperkukuhkan lagi dengan pemilihan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.
“Satu lagi indikator yang mencerminkan kepercayaan dan pengiktirafan masyarakat antarabangsa terhadap kebolehan dan kemampuan pimpinan negara,” katanya.
Sementara itu Hajiji berkata, semangat toleransi yang tinggi dan perpaduan yang jitu kekal sebagai satu kunci kepada kesatuan dan kekuatan masyarakat untuk terus menikmati kehidupan dalam suasana harmoni, aman dan sejahtera.
“Majlis berbuka puasa secara berkumpulan di setiap kawasan dan perkampungan di Sabah akan turut dihadiri oleh pelbagai lapisan masyarakat termasuk bukan beragama Islam.
“Perbezaan kaum, berlainan fahaman agama dan kepelbagaian budaya tidak mendatangkan masalah, semua ini adalah lambang keunikan dan kepelbagaian negeri Sabah,” ujar beliau.
Terdahulu, Hajiji bersama Anwar melawat Jualan Rahmah di hadapan Dewan Seri Sulaman dan seterusnya menghadiri Taklimat Pembangunan Negeri Sabah di Bilik Mesyuarat Utama, Pejabat Daerah Tuaran sebelum merasmikan program berkenaan.






