HARGA runcit RON97 dan RON95 kekal pada RM3.28 dan RM2.05 seliter manakala harga diesel di Semenanjung turun tiga sen kepada RM3.03 sen seliter bermula esok hingga 26 Mac.
Kementerian Kewangan (MOF) menerusi satu kenyataan memaklumkan harga diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada RM2.15 seliter.
Menurut kenyataan itu lagi, penetapan harga dibuat berdasarkan harga runcit mingguan produk petroleum menggunakan formula Mekanisme Harga Automatik.
MOF memaklumkan kerajaan akan terus memantau perkembangan pasaran dan menyelaraskan harga runcit diesel berasaskan pasaran minyak global, sambil menyokong kestabilan harga.
“Kerajaan juga akan mengambil langkah bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terpelihara,” kata kenyataan itu.






